Modifikasi

HILUX KACUK ENJIN 6.2 AMG, ADA KOMPONEN DATANG DARI MALAYSIA

Kalau di negara kita, biasanya kita akan gelak apabila nampak Kancil mengenakan logo Nismo, Saga letak logo STi dan Myvi pula pasang logo Evo. Salah satu sebabnya ialah pemilik di negara kita suka letak logo sahaja tanpa membuat apa-apa perubahan dari segi mekanikal dan juga trenkuasa.

Jadi kalau anda nampak sebuah Toyota Hilux dipasang dengan logo AMG serta tulisan 6.2 di bahagian sisi, perkara pertama yang anda perlu buat ialah jangan gelak. Toyota Hilux di Pretoria ini dimiliki oleh Quentin Boylan yang memiliki perniagaan menjual komponen kenderaan di Pretoria.

Quentin mengatakan walaupun dia tidak menjalankan perniagaan modifikasi dan ubahsuai, Hilux ini dihasilkan sebagai “marketing tool” bagi perniagaan beliau. Bagi mengekalkan eksklusiviti, hanya sebuah sahaja Hilux ini yang dihasilkan. Quentin mengakan dia sedia menjual Hilux ini, kalau kena dengan harganya.

Toyota Hilux milik Quentin ini menghasilkan sehingga 500 kuasa dan 630Nm tork daripada enjin V8 6200cc ini. Quentin mendapat idea penukaran enjin ini apabila melihat Mercedes menghasilkan pikap X-Class tapi hanya ditawarkan dengan enjin 3000cc V6 turbodiesel yang pada pandanganya tidak cukup berkuasa.

Jadi Quentin merasakan Toyota Hilux lebih sesuai dan tahan lasak untuk kegunaan di benua Afrika memulakan projek penukaran enjin ini. Berikut ialah komponen yang telah ditukar oleh Quentin bagi memastikan enjin AMG 6.2 ini berfungsi dengan sempurna:

1. Transmisi automatik 6 kelajuan dari Toyota dikekalkan dan dikahwinkan dengan enjin ini dengan sedikit pengubahsuaian. Alasan Quentin ialah jika transmisi manual digunakan, klac yang lebih keras terpaksa digunakan dan menyukarkan dia memandu setiap hari

2. Sistem ECU Motac M150 digunakan bagi bagi mengawal semua komponen drive by wire, intercooler dan enjin

3. Bagi tujuan keselamatan, Hilux ini menggunakan angkup brek original daripada AMG yang diwarnakan dengan warna merah

4. Walaupun Quentin bercadang menggunakan kepala silinder custom, niat itu terpaksa dibatalkan kerana ia sukar untuk dimuatkan dengan penutup enjin asal

5. Kusyen diambil dari Opel Corsa OPC, diubah dengan balutan kulit dengan corak berlian ala-ala AMG serta kemasan warna merah dan penggunaan Alcantara pada roda steering, kemasan pintu dan papan pemuka bagi menghasilkan unsur AMG

6. Rim custom 20 inci digunakan bagi memuatkan angkup brek AMG dengan rekaan inspirasi AMG. Saiz tayar pula ialah 275/40 R20 menjadikan Hilux ini sangat rendah berbanding dengan versi asal

7. Lampu depan, jeriji depan serta bampar pula diimport dari Malaysia berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Quentin. Bagi dia, rekaan Hilux yang baru ini dengan DRL LED adalah jauh lebih menarik berbanding dengan versi di sana

Google ads
Back to top button