Modifikasi

PEDALBOX DTE SYSTEMS – NAK JIMAT BOLEH, NAK POWER LAGILAH BOLEH!

Dalam banyak-banyak kereta yang pernah saya miliki selama ini, Toyota Corolla Sport ialah kereta yang paling banyak mendapat penambahan aksesori. Sejujurnya, saya memang seorang yang sukakan kereta standard sahaja. Tidak payah pening-pening nak tukar bodykit, rim atau sebagainya. 

Tetapi, lain sedikit ceritanya dengan Corolla Sport ini. Perkara pertama yang dibuat ialah menukar unit infotainmen asal dengan Android player daripada jenama Soundstream, lengkap bersama kamera 360.

Itu merupakan naik taraf yang terpaksa dibuat kerana sedia maklum ia merupakan model recond dari Jepun, maka frekuensi radionya terhad. Kualit kamera pun azab, kelabu asap. Walaupun ia datang dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto secara sambungan wayar, namun entah kenapa ia kerap terputus. 

Jadi, jalan paling mudah ialah tukar sahaja dengan Android player yang menawarkan ketersambungan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, rekuensi radio lebih banyak dan kamera jauh lebih jelas. 

Penambahbaikan kedua yang dibuat pada Corolla Sport ialah menukar rim original kepada rim aftermarket. Sebenarnya, penukaran rim itu pun dibuat tanpa niat.

Ia bermula selepas saya menghadiri majis pelancaran rim jenama Ronin di Glenmarie, Shah Alam. Selepas satu perbincangan ringkas, Ronin bersetuju untuk memberi satu set rim untuk dipasang dan hasilnya, hatchback ini tampil lebih sporty. 

Dalam tempoh setahun ini juga, saya berpeluang menukar tayar sebanyak dua kali. Pertama, menggunakan tayar Goodyear Assurance ComfortTred dan sekarang dipasang dengan Continental MaxContact MC7.

Secara ringkas, saya berpuas hati dengan prestasi kedua-dua tayar berkenaan walaupun ia menawarkan ciri serta teknologi berbeza.  

Hampir setahun berlalu, terkini saya berpeluang memasang satu peranti yang sudah lama diinginkan iaitu PedalBox.

Bagi mereka yang tidak pernah mendengar nama tersebut, PedalBox yang dikhasilkan oleh DTE Systems GmbH dari Jerman sejak tahun 1997 itu merupakan peranti pengawal pendikit kenderaan (throttle controller) yang bersifat plug and play serta tidak perlu memotong apa-apa wayar.  

Senang cakap, PedalBox ialah jalan mudah untuk anda menala kenderaan agar menjadi semakin responsif tanpa perlu banyak kerja dan jauh lebih murah tanpa sebarang risiko. 

PedalBox boleh dipasang berdasarkan kepada soket tersendiri bergantung kepada jenama dan model kenderaan. 

“Pemasangan PedalBox dibuat berdasarkan kepada generasi sesebuah kenderaan. Sebagai contoh, soket pada kereta Toyota sudah memasuki generasi kedua. Jadi, ia ada dua jenis soket yang berbeza. Manakala BMW pula tidak pernah menukar soket dari dulu hinggalah sekarang,” kata Yeo See Kiat daripada Autoclinic Malaysia yang beribu pejabat di Ara Damansara, Kuala Lumpur. 

Rangkaian kereta yang boleh memanfaatkan kelebihan PedalBox cukup luas. Ini  kerana ia boleh dipasang pada kereta yang menggunakan sistem drive by wire, termasuklah jenama tempatan seperti Proton dan Perodua.

Selain boleh diaplikasikan pada kereta yang dilengkapi enjin turbo atau aspirasi biasa (NA), enjin diesel, petrol, serta menggunakan transmisi manual, automatik mahupun klac berkembar.  

Manfaat utama yang ditawarkan oleh PedalBox ialah meningkatkan maklum balas pendikit dan menjimatkan minyak, bergantung kepada mode yang anda pilih. 

Sebagai contoh, untuk menjimatkan minyak, pengguna boleh menggunakan mode City. Kalau mahukan kereta lebih responsif, guna sahaja mode Sport atau Sport+. Kalau hendak kembali ke tetapan sedia ada pun boleh, pilih sahaja mode Stock dengan lampu berwarna kebiru-biruan.

Mode-mode itu dibezakan menerusi warna lampu yang menyala pada kotak berbentuk empat segi. Hijau untuk City, kuning untuk Sport dan merah Sport+.

Cara untuk menukar mode juga cukup senang, cuma perlu tekan butang pada bahagian atas peranti, kemudian warna akan bertukar. Pengguna juga boleh mengubah suai tahap responsif sesuatu mode menggunakan butang “+” dan “-” yang ada pada bahagian bawahnya. 

Jadi, secara asasnya, setiap mode ada 7 tetapan (setting) yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian. Jadi, anda mempunyai 21 tetapan (setting) yang boleh digunakan pada bila-bila masa. 

Memang betul ada produk seumpananya di pasaran, tetapi apa yang membezakan Pedal Box ialah peranti itu hadir dengan jaminan selama lima tahun dan ciri keselamatan.

Sebagai contoh, jika sesebuah kereta itu aliran tenaga elektrik terlebih atau ia tidak selari dengan throttle body, maka ia akan kembali kepada setting original secara serta-merta. Sekali gus dapat mengurangkan risiko kereta mengalami masalah engine fault code. 

Menurut Yeo, kelompok pelanggan Pedal Box memang besar. Paling ramai terdiri daripada pemilik kenderaan pacuan empat roda, selain pembeli kereta baru dan kereta yang sudah berusia. 

PedalBox didakwa mampu menjimatkan minyak di antara lima hingga 10 peratus, terutama apabila memandu dalam jarak yang jauh seperti di lebuh raya. Namun, ia tetap bergantung kepada corak pemanduan dan tetapan mestilah menggunakan mode City dengan repons paling rendah. 

Saya sebenarnya menggunakan mode ini sepanjang masa. Memang betul ia sedikit menjimatkan minyak, tetapi tidaklah terlalu signifikan. Ini mungkin disebabkan oleh gaya saya yang gemar memandu laju. Cuma, apa yang saya perasan apabila menggunakan mode ini, RPM enjin sentiasa berada di bawah 2,000 dan enjin rasa kurang berkuasa. 

Tetapi, apa barang kalau pasang PedalBox kalau setakat hendak guna mode City kan? Jadi, cara paling sesuai untuk merasai kuasa tambahan enjin kereta anda ialah dengan menggunakan mode Sport+ bersama tetapan paling tinggi. Ya, anda akan merasai kuasa serta-merta tanpa sebarang lag sebaik sahaja pedal minyak ditekan. Syok betul… 

Harus tahu bahawa mode-mode tersebut boleh ditukar ketika memandu. Cuma kena pastikan kereta tidak berada dalam keadaan high rev dan berada sekitar kelajuan 60 hingga 80km/j sahaja. 

Pemasangan sangat mudah dan hanya mengambil masa kurang 15 minit. Lebih penting lagi, pemasangan PedalBox tidak menyebabkan jaminan kenderaan terbatal. Ini kerana selepas pemasangan dibuat, juruteknik akan membuat konfigurasi untuk modul PedalBox membaca data kenderaan dengan tepat. 

Kalau hendak buat tuntutan jaminan, peranti itu boleh dibuka dan dipasang kembali.  Jadi, pengguna tidak perlulah risau. Lagipun peranti berkenaan sudahpun menerima persijilan daripada pihak berkuasa seperti TUV Austria (macam SIRIM di Malaysia) dan banyak lagi. 

Jaminan merangkumi hardware peranti sahaja seperti butang dan soket selama lima tahun, paling lama berbanding mana-mana pesaingnya di pasaran. Jika rosak ia akan ditukar sepenuhnya atau one-to-one.  Harus ingat bahawa jaminan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pembaikan atau penukaran enjin enjin kenderaan. 

Untuk pasaran Malaysia, PedalBox boleh anda miliki pada harga RM1,500 seunit siap dengan pemasangan yang diedar oleh empat pengedar di Selangor dan Kuala Lumpur. 

Maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook Autoclinic Malaysia

GALERI

Google ads
Back to top button