BREK CAKERA BERKARAT, PERLU SEMBUR CAT KE? HABIS JAHANAM BREK.
Antara soalan yang kerap ditanya di media sosial ialah “kenapa brek cakera kereta mudah berkarat?”. Brek adalah komponen yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah iron casting atau besi tuang. Iron atau logam yang terdedah kepada udara dan air akan membentuk oksida yang dikenali sebagai karat.
Jika anda kerap memandu, isu karat ini bukanlah isu yang besar kepada kenderaan anda. Namun jika anda mengecat brek cakera dan angkup brek seperti gambar di atas, besar kemungkinan anda perlu menukar satu set brek kereta anda
Dalam satu pendedahan yang dibuat oleh CS Automotive, seorang pemilik Nissan berhadapan dengan masalah besar apabila beliau bercadang untuk menjadikan sedan miliknya nampak lagi sporti dan bergaya dengan mengenakan warna hitam pada rim aloi standard yang dipasang oleh Nissan
Namun mungkin kerana malas atau bebal, pemilik Nissan berkenaan terus menyembur sahaja cat pada roda kereta sedan Nissan miliknya tanpa menanggalkan roda dari kenderaan. Akibatnya, sedan Nissan miliknya tersangkut di persimpangan jalan selepas cat tersebut menyebabkan sistem brek keretanya terus mengalami kerosakan
Beberapa gambar menunjukkan tayar, rim aloi, angkup brek dan brek cakera diselaputi cat berwarna hitam. Cat ini mencair apabila kereta Nissan ini bergerak, dan kembali membeku ketika kereta ini berhenti seketika di persimpangan lampu isyarat.
Dalam proses modifikasi, antara cara yang mudah dan selamat untuk melakukan proses mengecat rim aloi ialah dengan menggunakan kaedah powder coating dimana warna yang dikehendaki oleh pelanggan akan disembur dengan menggunakan serbuk khas.
Serbuk khas ini akan disembur pada rim aloi dengan sekata dan dibakar dalam overn khas untuk memastikan serbuk tadi berubah menjadi cat dan melekat dengan selamat. Bagi pemilik Nissan Altima ini, semuanya sudah terlambat.
Selain perlu mengeluarkan modal untuk membersihkan balik rim aloi dan tayar miliknya, pemilik juga perlu mengeluarkan kos untuk menggantikan pelapik brek, brek cakera dan angkup brek bagi memastikan semua komponen ini berfungsi dengan sempurna
Mungkin niat pemilik untuk berjimat dengan melakukan proses mengecat ini tidak menjadi, sebaliknya semakin menyusahkan diri sendiri, menyusahkan pengguna jalan raya dan makan modal lebih besar.