Artikel PilihanModifikasi

PORSCHE 959 INI ABANG TIRI NISSAN R32 GT-R. LAIN MAK LAIN BAPAK, TAPI DUDUK SERUMAH

Satu badan bebas yang menawarkan khidmat lelongan kereta terpakai eksotik Broad Arrow Auctions merancang untuk menjual sebuah Porsche 959 yang dihasilkan pada tahun 1988 dalam satu lelongan awal pada 1-2 Mac 2024 ini bersempena dengan 2024 Amelia Island Concours d’Elegance.

Porsche 959 ini memiliki sejarah yang unik dimana Nissan membeli supercar ini pada penghujung dekad 1980an bagi mempelajari bagaimana Porsche membina dan menghasilkan sistem pacuan semua roda bagi sebuah supercar.

Hasil penyelidikan dan pemerhatian Nissan selepas membeli, membuka semua komponen, merombak dan memasang balik Porsche 959 ini diterjemahkan pada Nissan R32 Skyline GT-R. Malah Porsche 959 ini juga dijadikan sebagai penanda aras kepada R32 semasa dalam proses pembangunan dan talaan sebagaimana yang digunakan oleh pemain industri lain

Usaha Nissan untuk membeli Porsche 959 ini secara terus dan didaftarkan atas nama Nissan telah disedari oleh Porsche dan menghalang pihak Nissan daripada membelinya. Namun Nissan mengambil helah dengan membeli Porsche 959 ini menerusi salah satu agen jualan Porsche di Belgium menerusi syarikat D’Ieteren Brothers.

Selepas didaftarkan di atas salah seorang warganegara Belgium, Porsche 959 ini kemudian diangkut menggunakan kapal kargo untuk dibawa ke Yokohama, Jepun dalam warna perak (Polar Silver) dan dalam varian Komfort

Selepas selasai menjalani semua ujian dan pihak Nissan memperoleh semua data yang diinginkan, Porsche 959 ini kemudian dijual kepada salah seorang jurutera yangterlibat dalam pembangunan Nissan Skyline R32, disimpan beberapa tahun dan amat jarang sekali dipandu di atas jalan raya.

Porsche 959 ini kemudian dijual kepada seorang warganegara Amerika, dan dihantar semula ke California pada tahun 2019 bagi menjalani proses pemulihan dan restorasi semula. Berdasarkan rekod, Porsche ini hanya dipandu sejauh 1400km sahaja ketika tiba di pusat restorasi.

Syarikat restorasi iaitu Canepa SC memerlukan masa sehingga 4 tahun untuk membaik pulih Porsche 959 ini dengan kos mencecah RM 4,538,625.00. Semua komponen dibuka, digantikan, atau dibaikpulih dan dinaiktaraf berdasarkan keperluan sehingga semua skru turut diperiksa

Akhir sekali Porsche 959 ini disudahkan dengan warna Oak Green dan bahagian dalam diberikan kemasan kulit berwarna tobacco brown. Bukan itu sahaja, enjin boxer 6 silinder 2800cc yang digunakan telah dinaiktaraf daripada 444 kuasa kuda menjadi 800 kuasa kuda dengan 881Nm tork

Rod penyambung digantikan dengan titanium, aci sesondol digantikan dengan unit prestasi tinggi, kepala silinder disalut dengan tungsten, turbo dari Borg Warner, ECU Motec. Semua ini membolehkan Porsche 959 ini memecu dari 0-96km/jam dalam masa 2.3 saat sahaja dan mencapai halaju tertinggi 370km/jam

Kalau anda ada duit sebanyak RM 18 juta, mungkin anda berpeluang untuk membida dan menjadi pemilik baru Porsche 959 ini.

Google ads
Back to top button