Buletin

MAHKAMAH KOREA SELATAN ARAH SITA ASET MITSUBISHI

Mahkamah Korea Selatan mengarahkan supaya aset Mitsubishi di negara berkenaan dirampas berhubung penggunaan buruh paksa oleh gergasi industri Jepun itu semasa Perang Dunia Kedua.

Jepun dan Korea Selatan adalah negara demokrasi, pasaran ekonomi dan sekutu Amerika Syarikat tetapi hubungan kedua-dua negara tegang selama beberapa dekad berikutan pemerintahan kolonial Tokyo yang kejam pada tahun 1910-45 di Semenanjung Korea.

Kira-kira 780,000 rakyat Korea dijadikan buruh  paksa sepanjang 35 tahun pendudukan Jepun, demikian menurut  data Seoul, tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seks.

Dalam keputusan bersejarah pada 2018, Mahkamah Agung Korea Selatan memerintahkan Mitsubishi Heavy Industries membayar ganti rugi kepada segelintir mangsa tetapi firma Jepun itu menolak untuk mematuhi  keputusan tersebut.

Pada awal bulan ini, keluarga empat mangsa yang masih hidup meminta mahkamah merampas sukuk Mitsubishi di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Mahkamah Daerah Suwon cawangan Anyang memerintahkan penyitaan bon bernilai sekitar AS$750,000(RM3 juta) yang dimiliki syarikat Jepun itu dalam firma LS Mtron iaitu  pengeluar mesin industri Korea Selatan.

“Kami meminta Mitsubishi untuk mengakui fakta sejarah dan meminta maaf serta memberikan pampasan kepada mangsa,” 

“Sekiranya Mitsubishi terus menolak untuk mematuhi keputusan mahkamah, kami akan mengumpulkan bonnya dari LS Mtron berdasarkan perintah pemungutan,”Yonhap memetik firma guaman mewakili plaintif.

Jepun menyatakan bahawa  hak mangsa untuk mengemukakan saman berhubung perkara itu  terbatal ekoran perjanjian 1965 yang menyaksikan Seoul dan Tokyo memulihkan hubungan diplomatik termasuk pemberian pakej pemulihan sebanyak AS$800 juta (RM3.3 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman murah. – Yonhap/Kosmo!

 

Google ads
Back to top button