Buletin

OCTAVIA vRS TERLAJU DALAM KATEGORI DI BONNEVILLE DAN TAK TERKALAH!

ŠKODA, sebuah jenama yang kini jarang didengar di negara kita selepas tidak lagi aktif beroperasi. Jenama dari Republik Czech ini merupakan alternatif atau pilihan baik memandangkan ia bernaung di bawah Kumpulan Volkswagen.

Di antara barisan model ŠKODA ialah Octavia, Superb, Fabia, Kodiaq, Karoq dan pelbagai lagi.

Selain terkenal dengan ciri kenderaannya yang ringkas, ŠKODA turut hebat di dalam sukan permotoran seperti perlumbaan rali.

Di sebalik aktiviti permotoran itu tersimpan satu rekod kelajuan yang tidak terkalah sejak sepuluh tahun lalu.

ŠKODA UK meraikan ulang tahun ke-10 rekod kelajuan darat (land speed) di Bonneville salt flats di Utah, Amerika Syarikat yang berjaya dibuat pada 19 Ogos 2011.

Kejayaan itu juga merupakan yang pertama untuk ŠKODA.

Rekod kelajuan pada pukul 7:45 pagi itu dibuat menggunakan ŠKODA Octavia vRS yang dipandu oleh seorang jurnalis bernama Richard Meaden. 

ŠKODA Octavia vRS dengan ubah suai khas itu mencatatkan rekod terpantas bagi kereta produksi 2.0 liter dengan induksi paksaan (turbo).

Rekod itu bukan sembang kosong dan kelajuan 227.080 bsj (365.449 km/j) yang dicapai secara rasminya diiktiraf oleh Persatuan Pemasaan California Selatan (SCTA).

Bagi meraikan kejayaan tersebut, ŠKODA UK membaik pulih semula Octavia vRS mengikut spesifikasi asal semasa rekod itu dibuat pada 2011.

Selepas siap, ŠKODA UK membawanya ke litar Millbrook Proving Ground untuk diuji oleh wartawan permotoran selain beberapa lagi model berprestasi lama dan baharu ŠKODA sebagai tanda ulang tahun ke-20 varian vRS di UK.

Di sebalik pencapaian di Bonneville ada satu cerita menarik yang di luar jangkaan.

Pada asalnya ŠKODA UK hanya mensasarkan untuk memecah kelajuan 200 bsj (321 km/j) sahaja.

Apa yang berlaku ialah sebaliknya apabila Octavia vRS dengan senang memecah kelajuan itu pada percubaan awal dan dari situ mereka menyedari bahawa rekod baharu bakal dicipta.

Akhirnya ia benar-benar berlaku dan rekod Octavia vRS dibuat melalui dua kali pecutan di ‘litar’ Bonneville dengan jarak lima batu 8 kilometer.

Kelajuan yang dicatatkan ialah 225.513 bsj (362.927 km/j) pada Khamis, 18 Ogos dan 228.647 bsj (367.971 km/j) pada keesokan hari.

Selain kisah di sebalik pencapaian tersebut, Octavia vRS yang digunakan turut mempunyai cerita tersendiri.



Pada asalnya, Octavia vRS 2.0 TSI warna Corrida Red disediakan sebagai kenderaan media ŠKODA UK sebelum dijadikan kereta projek untuk Bonneville.

Susulan itu unit standard Octavia vRS diubah suai dengan ekstensif untuk misi yang besar. Menariknya di bawah peraturan SCTA hanya beberapa ubah suai dibenarkan.

Menambah lagi cabaran apabila enjin 2.0 TSI yang digunakan masih baharu dan tidak banyak komponen ubah suai boleh didapati dari pihak ketiga. 

Bekerja dalam masa suntuk, beberapa ubah suai dibuat seperti berikut:

  • Sistem suntikan bagi menghantar lebih banyak minyak (lapan penyuntik) kepada enjin.
  • Sistem penyejukan dengan penambahan radiator 10 liter.
  • Transmisi dengan gear lebih panjang dari Octavia varian GreenLine digunakan untuk mencapai kelajuan lebih tinggi.
  • Angkup dan cakera brek asal ditangggalkan dan diganti dengan paracut supaya kereta dapat dihentikan lebih selamat. Faedah lain ialah mengurangkan lebihan seretan, berat tak terpegas (unsprung weight) dan geseran.

Dalam tempoh beberapa hari sebelum acara di Bonneville berlangsung, Octavia vRS tersebut menjalani program ujian dyno yang berat dengan bantuan pakar perisian prestasi dan penalaan REVO Technik. 

Seterusnya sejarah tercipta dan walaupun banyak percubaan untuk memecahkan pencapaian tersebut, ŠKODA masih memegang takhta Rekod Kelajuan Darat (Land Speed Record) dalam kategori G/PS (1.524L – 2.015L)/Partial streamlining).

Dengan terciptanya sejarah ini, Octavia vRS Bonneville Special diletakkan di bawah koleksi warisan ŠKODA UK yang terdiri daripada model-model khas sejak dari tahun 1929.

ŠKODA bukan syarikat biasa, ianya ditubuhkan pada tahun 1895.

ŠKODA OCTAVIA vRS 2020

BACA: ŠKODA OCTAVIA vRS 2020, WAGON ATAU SEDAN?

BACA: TAHUKAH ANDA ŠKODA AUTO BERMULA DENGAN BASIKAL?

BACA: ŠKODA OCTAVIA GUNA ENJIN 1.0L TSI – 110PS 200NM

BACA: HATI-HATI DI SIMPANG! – CIRI CANGGIH ŠKODA OCTAVIA 2020

Google ads
Back to top button