Buletin

HIPERON CARRIER – VAN KARGO ELEKTRIK, JARAK GERAK 320 KM

Jika dilihat sekilas pandang, anda mungkin akan menyangka ia sebuah Hyundai Staria, atau kenderaan konsep Vision Renndienst yang diperlihatkan oleh Porsche suatu ketika dahulu.

Namun, ia sebenarnya merupakan sebuah van kargo Carrier berkuasa elektrik yang dihasilkan oleh Hiperon, dan bakal muncul di pasaran bermula suku kedua tahun depan.

Dari segi luaran, ia menampilkan rekaan hadapan aerodinamik, bar lampu LED melintang, serta unit lampu utama di bahagian bawah – sama macam Staria.

Rekaan tingkap sisi pula sememangnya mengingatkan kita kepada model konsep Porsche Renndienst, diikuti dengan cermin sisi digital, pemegang pintu tertanam dan rekaan bumbung terapung.

Hiperon Carrier membawakan ukuran sepanjang 5,660 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 2,010 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,740 mm.

Unit trenkuasa tidak dijelaskan, namun ia dijangka membawakan pek bateri 75 kWh dengan jarak pergerakan sejauh 320 km, motor elektrik berkuasa 265 hp, dan keupayaan untuk membawa muatan seberat 995 kg.

Versi asas Carrier Basic berharga $49,900 (RM207,260) didatangkan dengan sistem infotainmen bersaiz 13 inci, tempat duduk pemandu dengan ciri pemanas, kawalan jelajah, navigasi GPS, kamera undur dan sistem pemantauan titik buta.

Sementara versi Carrier Pro ($62,000 atau RM257,517) pula membawakan penambahan seperti skrin infotainmen 15 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk hadapan dengan ciri pemanas, larasan berkuasa elektrik pada tempat duduk pemandu, penyeka kaca sensitif hujan, ciri pemanas pada roda stereng dan pemegang cawan, slot pengecasan nirwayar dan tidak ketinggalan bantuan pemandu seperti kawalan jelajah adaptif dan sistem pemantauan keliling.

Google ads
Back to top button