
NPI SIRI “H” JANA RM91.2 JUTA, H 1 DIBIDA RM10.78 JUTA
Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri “H” mencipta pencapaian memberangsangkan apabila berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM91,206,642 menerusi bidaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut kenyataan MOT, sambutan luar biasa itu mencerminkan minat tinggi rakyat terhadap NPI Siri “H” yang diperkenalkan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Bidaan yang dijalankan sepenuhnya melalui sistem JPJeBid bermula 16 hingga 20 September 2026 merekodkan hasil bidaan sebanyak RM89,266,542, manakala fi perkhidmatan pula berjumlah RM1,940,100.
Secara keseluruhan, seramai 34,664 pembida mengambil bahagian dalam proses tersebut dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida.

Bagi kategori nilai bidaan tertinggi, nombor H 1 menjadi tumpuan apabila berjaya mencatat bidaan tertinggi sebanyak RM10,777,777.
Turut merekodkan nilai bidaan tinggi ialah H 9 pada harga RM4,969,999, diikuti H 3 (RM4,209,777), H 5 (RM4,007,777), H 8 (RM4,000,000), H 6 (RM3,380,000), H 2 (RM3,180,000), H 7 (RM3,100,000), H 4 (RM2,437,777) dan H 11 (RM1,557,777).
Sementara itu, nombor yang mencatatkan penyertaan pembida paling tinggi ialah H 1001 dan H 100 dengan masing-masing menerima 37 pembida. Ia diikuti H 1805 dengan 36 pembida, manakala H 1777 dan H 4818 masing-masing menarik 32 pembida.
MOT berkata, kejayaan NPI Siri “H” bukan sahaja mencerminkan sambutan tinggi terhadap nombor pendaftaran istimewa, malah menjadi bukti kejayaan transformasi digital kerajaan menerusi platform JPJeBid yang menjadikan proses bidaan lebih mudah, pantas dan cekap.






