Buletin

PROTON CAPITAL DILANCAR, TAWAR PROSES LEBIH MUDAH

PROTON memperkukuh ekosistem perniagaannya menerusi pelancaran Proton Capital Sdn Bhd, sebuah syarikat pembiayaan automotif yang diwujudkan bagi menawarkan kemudahan pembiayaan khusus kepada pembeli kenderaan jenama itu.

Menurut PROTON, penubuhan Proton Capital bukan bertujuan menggantikan peranan institusi kewangan sedia ada, sebaliknya melengkapkan pilihan pembiayaan yang tersedia di pasaran dengan menawarkan proses lebih tersusun dan mesra pelanggan.

Pada fasa awal, perkhidmatan Proton Capital akan ditawarkan kepada pelanggan individu yang layak menerusi 12 cawangan pengedar terpilih di Lembah Klang.

Kemudahan ini terbuka kepada pekerja bergaji, individu bekerja sendiri serta mereka yang mempunyai sumber pendapatan lain yang boleh disahkan.

Pengerusi Proton Capital, Zhang Qiang berkata, pembiayaan merupakan elemen penting dalam proses pembelian kenderaan dan penubuhan syarikat itu membolehkan PROTON bekerjasama dengan lebih rapat bersama rangkaian pengedarnya selain memberi respons lebih pantas terhadap keperluan pelanggan.

“Dengan adanya syarikat pembiayaan khusus, kami dapat menyediakan pengalaman yang lebih lancar daripada peringkat permohonan sehingga penyerahan kenderaan,” katanya.

Permohonan boleh dibuat di pengedar PROTON yang mengambil bahagian, dengan setiap permohonan akan dinilai berdasarkan tahap pendapatan, komitmen kewangan semasa, rekod kredit dan kemampuan pembayaran balik pemohon.

PROTON turut memaklumkan bahawa keputusan awal boleh diperoleh dalam tempoh satu hari bekerja bagi permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat. Namun, proses mungkin mengambil masa lebih lama sekiranya memerlukan dokumen tambahan atau semakan kredit lanjut.

Bersempena pelancarannya, Proton Capital menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional bagi semua model baharu PROTON termasuk pakej khas untuk teksi berasaskan model Proton S70.

Syarikat itu juga merancang memperluaskan penawaran produk pada masa akan datang, termasuk kemudahan pembiayaan khusus untuk pemandu e-hailing.

Selain itu, pilihan pembiayaan patuh Syariah dijangka diperkenalkan seawal November depan, tertakluk kepada kelulusan dan syarat yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Capital, Song Tao berkata, syarikat itu komited menyediakan penyelesaian pembiayaan yang bertanggungjawab dan disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.

“Kami memulakan operasi dengan produk sewa beli konvensional sebelum memperkenalkan lebih banyak pilihan pembiayaan berdasarkan keperluan segmen pelanggan yang berbeza,” katanya.

Tiada fi permohonan dikenakan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan pembiayaan melalui Proton Capital.

Bagaimanapun, kos seperti duti setem, premium insurans atau takaful, caj pendaftaran dan bayaran berkaitan lain akan dinyatakan secara jelas dalam helaian pendedahan produk sebelum perjanjian ditandatangani.

Pembayaran ansuran bulanan boleh dibuat menerusi perbankan dalam talian, DuitNow Transfer atau kemudahan debit terus yang disediakan.

PROTON berkata, Proton Capital akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh rangkaian pengedar syarikat itu di seluruh negara bagi memudahkan lebih ramai pelanggan mendapatkan akses kepada pembiayaan kenderaan baharu.

Google ads
Back to top button