
DONGFENG AKAN LANCAR VOYAH DREAM 9 TAHUN 2027
Dongfeng bakal meluaskan kehadiran jenama premiumnya Voyah, di Malaysia menerusi pengenalan Voyah Dream 9 yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan pada suku pertama 2027. MPV mewah bersaiz besar itu akan dibawa masuk oleh Volt Auto Malaysia dan dirancang untuk ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu elektrik sepenuhnya (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV).
Voyah Dream 9 akan tiba sebagai model import sepenuhnya atau CBU sebelum unit CKD diperkenalkan. Bagi mengekalkan nilai eksklusif, Voyah akan dijual sebagai jenama tersendiri di Malaysia, termasuk mempunyai rangkaian pengedar dan bilik pameran yang berasingan daripada Dongfeng.
Dream 9 boleh dianggap sebagai evolusi kepada Voyah Dream yang pernah diperkenalkan kepada pengguna tempatan sebelum ini. Dari segi saiz, MPV ini mempunyai panjang 5,325 mm, lebar 1,998 mm dan tinggi 1,805 mm, manakala jarak antara rodanya mencecah 3,200 mm. Berbanding Dream sebelumnya, model baharu ini bertambah 10 mm dari segi panjang dan 18 mm pada lebar, tetapi 15 mm lebih rendah. Jarak roda pula tidak berubah.

Bagi versi elektrik sepenuhnya, Voyah Dream 9 menggunakan konfigurasi dua motor yang memberikan sistem pacuan semua roda. Motor hadapan menghasilkan 238 PS, manakala motor belakang menjana 408 PS.
Tenaga dibekalkan oleh pek bateri lithium ion dengan kapasiti 120 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga sekitar 575 km jika dianggarkan berdasarkan kitaran WLTP. Pilihan PHEV pula menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter dengan dua motor elektrik.
Sistem PHEV menghasilkan kuasa gabungan sehinga 755 PS dengan bateri besar berkapasiti 65 kWh, membolehkannya bergerak sehingga 246km berdasarkan WLTP. Semua trenkuasa dibangunkan menggunakan seni bina elektrik 800 volt dan menyokong kadar pengecasan sehingga 5C yang membenarkan bateri dicas daripada 20 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 12 minit.

Voyah Dream 9 turut dipadankan dengan suspensi double-wishbone di hadapan dan susunan five-link pada bahagian belakang. Ia turut dilengkapi suspensi udara tiga ruang dengan empat tahap kadar spring serta penyerap hentak jenis injap berkembar bagi meningkatkan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan badan.
Walaupun mempunyai panjang melebihi 5.3 meter, Dream 9 dilengkapi sistem stereng roda belakang yang mampu membelok sehingga 10 darjah. Teknologi ini membantu meningkatkan kebolehgerakan MPV berkenaan terutama ketika membuat pusingan atau bergerak di kawasan yang sempit.
Kabin Voyah Dream 9 menampilkan susunan tiga baris tempat duduk dengan penekanan besar diberikan kepada keselesaan penumpang. Kerusi baris kedua menggunakan konsep tempat duduk penerbangan kelas perniagaan dan boleh dipusingkan untuk menghadap penumpang di baris ketiga.

Kelengkapan lain termasuk peti sejuk, skrin boleh lipat serta kaca dengan fungsi adaptive dimming untuk penumpang baris kedua dan ketiga. Aspek teknologi bantuan pemanduan turut menjadi antara tarikan utama Dream 9 menerusi penggunaan sistem Huawei Qiankun ADS 5.0.
Sistem tersebut menggunakan sejumlah 37 sensor termasuk satu unit lidar 896-line dan tiga unit solid-state lidar untuk menyokong pelbagai fungsi bantuan pemanduan termaju. Kehadiran Dream 9 pada tahun depan bakal memberikan Voyah sebuah produk utama untuk bersaing dalam segmen MPV premium elektrifikasi di Malaysia.
Buat masa ini, Volt Auto Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi Dream 9. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi khusus pasaran Malaysia serta perancangan pemasangan CKD dijangka diumumkan apabila model berkenaan semakin hampir dengan pelancarannya pada suku pertama 2027.



