Buletin

HONDA TAYANG SMALL RS CONCEPT DI IIMS – GANTI HONDA BRIO?

Setakat ini model paling kecil yang dipasarkan Honda di tempat kita ialah Jazz. Bukan setakat paling kecil tetapi paling murah pada harga sekitar RM 73,000.00.

Satu fakta yang menarik ialah Perodua Myvi yang merupakan di antara tiga kereta terlaris berada dalam segmen sama dengan Honda Jazz. Jika dibandingkan dengan harga memang jauh beza tidak kira sama ada di negara kita atau pun negara ASEAN lain.

Bayangkan jika Honda Jazz dipasarkan pada harga yang sama dengan Perodua Myvi? Adakah jualan kereta popular tempatan itu terjejas atau biasa-biasa sahaja?

Di pasaran ASEAN lain seperti Indonesia dan Thailand, Honda mempunyai sebuah model yang lebih kecil dari Myvi iaitu Brio. Model ini berada dalam segmen sama seperti Perodua Axia.

Model ini popular di negara jiran sehinggakan terdapat perlumbaan satu model (one make series) selain daripada kemeriahan unit-unit modifikasi yang telah dibuat oleh pemiliknya.

Sekarang ini bayangkan sekali lagi jika Honda memasarkannya di pasaran tempatan dan bersaing dengan Perodua Axia dan Kia Picanto?

Menarik tidak jika ia dipasarkan pada harga di bawah RM 50,000? Apa kata RM 40,000? Boleh jual atau tidak?

Persaingan di antara Honda Jazz dan Perodua Myvi tidak berapa menyerlah sangat di negara kita tetapi ia benar-benar berlaku di Indonesia.

Tetapi tidak juga memandangkan Perodua Myvi atau Daihatsu Sirion hanya dipasarkan dalam versi 1.3 liter dan tugas tersebut diambil alih oleh Toyota Yaris 1.5 yang nampak lebih setara di sana.

Manakala Daihatsu Ayla (atau Perodua Axia) pula bersaing dengan Honda Brio cuma bab harga memang Honda tidak dapat bersaing memandangkan posisi jenama yang lebih terarah kepada premium.

Apa pun Honda Brio sudah lama berada di pasaran sejak pertama kali diperkenalkan di Thailand pada tahun 2011.

Serentak dengan itu Honda telah mendedahkan satu kereta konsep yang dikenali Small RS Concept di Pameran Kenderaan Antarabangsa Indonesia (IIMS) 2018 yang berlangsung dari 19 hingga 29 April.

Honda masih lagi mengunci mulut sama ada Small RS Concept ini pengganti Brio atau sebaliknya tetapi sudah banyak tersebar di laman web automotif yang mendakwa model ini memberi bayangan kepada Brio baharu.

Memandangkan kereta ini untuk pasaran ASEAN dan negara membangun lain, ia direka bentuk oleh Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. yang terletak di Thailand.

Reka bentuk depan kereta konsep ini mengambil gayaan daripada Mobilio wajah baharu (MPV kompak Honda) manakala bahagian belakang biasa-biasa sahaja. Ingatkan Honda akan mengulang semula rekaan lampu ala sepit ketam seperti Civic dan Accord baharu.

Satu lagi perkara menarik tentang model konsep ini ialah corong udara di atas bonet enjin. Biasanya corong udara begini untuk penyejukan intercooler  enjin turbo. 

Adakah ia hanya kosmetik atau memang Honda ingin menggunakan enjin turbo?

Entah. Terlalu awal hendak mengesahkan apa yang ada di sebalik corong udara tersebut. Lebih nakal ada laman web yang mengatakan ini adalah baby Type-R!

Google ads
Back to top button