Buletin

HONDA CITY 2020 DILANCARKAN DI THAILAND

Honda hari ini telah melancarkan model City terbaharu mereka di Thaland. Bermula dari tahun 1996, model ini telahpun memasuki versi ke 7 dengan pengenalan model terbaru ini. Jika anda melihat rekaan City ini nampak sedikit lembut, maka mata anda memang tidak silap kerana rekaan baru ini mengetengahkan konsep Elegence Sportiness.

Konsep ini juga meberi arah tuju rekaan yang baru pada Honda City iaitu dengan memperkenalkan 3 garis rekaan yang baru pada muka hadapan, sisi dan belakang. Mendominasi rekaan garisan depan ialah penggunaan lampu LED DRL yang disisipkan pada lampu utama, bersambung dengan shoulder line yang merentasi bahagian sisi dan berakhir di bahagian lampu belakang persis rekaan kereta dari Bavaria. Garisan ini akan diakhiri dengan lampu belakang rekaan LED

Bagi memenuhi dinamik rekaan ini juga, dimensi City juga turut berubah dengan panjang keseluruhan 4553mm (+113mm), lebar 1748mm (+53mm) namun ketinggiannya dikurangkan menjadi 1467mm (-10). Honda juga turut mengubah jarak antara roda kepada 2589mm (-11mm). Secara kasarnya City baru ini kelihatan lebih panjang, lebar dan rendah.

Beberapa bahagian City ini juga menerima penambahbaikan berbanding dengan model asal terutama bagi menaiktaraf NVH. Honda menggunakan kaedah semburan busa polyurethane pada bahagian sambungan cesi bagi meningkatkan ketegaran cesi serta menggunakan penyerap bunyi dengan ketebalan berbeza pada bahagian enjin

Malah Honda juga bermurah hati dengan memberikan beberapa perubahan pada sistem cesi agar pengendalian City baru ini dipertingkatkan. Bagi melicinkan pergerakan mekanikal komponen, Honda melicinkan mekanisma Suspensi Topang McPherson di bahagian roda depan. Cagak enjin pula menerima teknologi resin prestasi tinggi bagi mengurangkan gegaran. Sistem brek pula menerima brek servo bantuan elektrik.

Bagi menambah kapasiti penglihatan, cermin sisi telah diubah dari tiang A ke belakang dipasang pada bahagian pintu. Kesannya, titik buta pada bahagian depan berjaya dikurangkan. Kusyen depan ditukar kepada kusyen ketumpatan tinggi bagi memberikan lebih ruang pada penumpang belakang. Honda CONNECT dengan sambungan internet menawarkan pelbagai servis (pengesan kemalangan, kawalan fungsi jarak jauh, geo-fence, dan juga sambungan WiFi) turut disediakan

Buat julung kali juga Honda menawarkan varian RS dilengkapi dengan pelbagai aksesori yang mampu membuatkan anda meleleh air liur. Berbanding dengan varian lain, RS dipasang dengan lampu utama teknologi LED, rim 16 inci, kemasan grill berwarna hitam, lampu belakang LED, Honda Connect, kusyen jahitan merah, dan unit kawalan audio 8 inci dengan fungsi Apple Car Play.

Rekaan dalaman terutama rekaan papan pemuka telah direka persis papan pemuka yang diambil dari jenama mewah Jerman. Rekaan corong penyaman udara diberi dengan sentuhan warna perak. Suis penyaman udara dari jenis butang sesentuh telah digantikan dengan butang rotari bagi memudahkan pemandu mengubah penyaman udara ketika memandu

Sudah tentu perubahan yang paling besar diterima ialah pengenalan enjin P10A2 998 cc dengan teknologi turbo. Enjin ini akan menggantikan enjin L15A7 pada semua varian dan akan digandingkan dengan transmisi CVT dengan 7 ratio maya. Bagi pasaran Thai enjin ini telah ditala agar menghasilkan 120 kuasa kuda pada 5500RPM dan 173Nm tork antara 2000-4500 RPM. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan enjin ini di SINI

Hasilnya Honda City generasi baharu ini berupaya untuk bergerak sejauh 23.8km bagi setiap liter petrol. Buat masa sekarang tiada varian manual ditawarkan untuk City ini. Brek ABS, EBD, VSA dan Brake Assist ditawarkan pada semua varian iaitu S, V, SV dan juga RS. Hanya varian RS sahaja yang ditawarkan dengan rim 16 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 185/55.

Di Thailand, harga City terbaru ini ditawarkan pada harga RM 80,000 untuk varian S, RM 84,100 untuk varian V, dan RM 91,900 untuk varian SV. Harga paling mahal ditawarkan pada varian RS yang menjangkau sehingga RM 102,000.

Google ads
Back to top button