Buletin

HONDA CITY 2026 LEBIH SPORTI, DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Petaling Jaya, 27 Ogos 2026 – Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Honda City baharu kini dibuka untuk tempahan, menampilkan reka bentuk luaran yang diperbaharui dengan penampilan lebih sporty serta ciri-ciri tambahan yang menawarkan lebih banyak kemudahan, keyakinan ketika memandu dan nilai pemilikan kepada pelanggan.

Sebagai evolusi terbaharu sedan segmen-B popular Honda Malaysia, City baharu menerima kemasan bahagian hadapan yang direka semula serta gaya urban yang lebih sporty. Perubahan ini memberikan penampilan yang lebih menyerlah di jalan raya, sambil mengekalkan aspek prestasi, kecekapan bahan api dan kepraktisan harian yang menjadi antara tarikan utama model tersebut dalam kalangan pelanggan Malaysia.

Honda City telah menjadi pilihan pelanggan daripada pelbagai peringkat kehidupan, termasuk golongan profesional muda yang membeli kereta pertama sehinggalah keluarga yang memerlukan kenderaan harian yang boleh dipercayai. Berdasarkan legasi tersebut, City baharu dibangunkan untuk generasi baharu pemandu bandar dengan menggabungkan reka bentuk yang lebih kemas dan muda bersama peningkatan dari segi kemudahan serta fungsi serba boleh bagi memenuhi keperluan mobiliti moden.

Antara penambahan utama pada City baharu ialah sistem 10-inci Display Audio dengan Ambient Light yang menawarkan paparan lebih besar serta antara muka yang lebih intuitif. Ia turut dilengkapi Multi-View Camera System (kamera pandangan 360 darjah) yang memberikan pandangan lebih menyeluruh terhadap persekitaran kenderaan, sekali gus membantu pemandu ketika melakukan manuver di ruang bandar yang sempit.

Bagi meningkatkan lagi keyakinan ketika memandu, City baharu turut menerima Blind Spot Information dengan Cross Traffic Monitoring System pada semua varian. Sistem ini memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan yang dikesan di kawasan titik buta bersebelahan, sekali gus membantu ketika menukar lorong dengan lebih selamat dan lancar.

Dari segi reka bentuk, City baharu tampil dengan imej yang lebih sporty dan muda, namun masih mengekalkan identiti Honda City yang dikenali sebelum ini. Bahagian hadapan kini menggunakan Integrated Headlight Design baharu dengan jalur lampu penuh (full-width light bar) yang menghasilkan identiti visual lebih kuat serta penampilan hadapan yang lebih kemas dan menyatu untuk semua varian.

Rekaan muka hadapan turut diperbaharui bagi memberikan karakter urban yang lebih menyerlah. Buat pertama kali untuk Honda City, reka bentuk tersebut turut menggabungkan air curtain, yang membantu menghasilkan rupa hadapan yang lebih lebar dan dinamik.

Di bahagian belakang pula, beberapa kemasan baharu memberikan penampilan yang lebih sporty untuk melengkapkan perubahan pada bahagian hadapan, sementara bentuk keseluruhan siluet City masih dikekalkan supaya kekal mudah dikenali. Untuk varian RS, penampilan sporty tersebut diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan rim aloi 16-inci jenis milled dengan kemasan dua tona Berlina Black dan Dark Clear.

Dari segi rangkaian kuasa, pelanggan masih mempunyai pilihan antara enjin petrol konvensional dan sistem hibrid. Bagi mereka yang mahukan kecekapan sistem elektrifikasi tanpa mengorbankan respons pemanduan, Honda City e:HEV menggunakan sistem hibrid 1.5 liter yang dipadankan dengan Electric Continuously Variable Transmission (e-CVT).

Sistem ini menghasilkan 109 PS dan 253 Nm tork daripada motor elektrik. Sistem e:HEV tersebut turut menggabungkan tiga mod pemanduan, iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive, yang berfungsi secara automatik mengikut keadaan pemanduan.

Menurut Honda, gabungan tersebut membolehkan City e:HEV memberikan respons yang baik serta kecekapan bahan api dalam pelbagai situasi, sama ada ketika berdepan trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak mahupun ketika melakukan perjalanan jauh di lebuh raya.

Bagi pilihan petrol pula, City menggunakan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT). Kombinasi ini menghasilkan 121 PS dan 145 Nm, dengan fokus terhadap pecutan yang lancar serta responsif untuk kegunaan harian.

Dari aspek keselamatan, Honda SENSING terus ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk semua varianCity baharu. Pakej sistem bantuan pemanduan dan keselamatan tersebut merangkumi:

  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Auto High Beam (AHB)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low Speed Follow (LSF)*
  • Lead Car Departure Notification (LCDN)

*Low Speed Follow hanya tersedia untuk varian e:HEV RS.

Ganjaran RM3,000 untuk tempahan awal

Sempena kempen pra-tempahan City baharu, Honda Malaysia turut menawarkan Ganjaran Early Bird bernilai RM3,000 kepada pelanggan yang membuat tempahan antara 27 Ogos hingga 30 September 2026. Tawaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Honda Malaysia untuk memberikan nilai pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan.

Dalam masa yang sama, sempena sambutan Hari Merdeka menerusi kempen “One Nation, Shared Rewards”, rakyat Malaysia juga berpeluang melihat City baharu di New City Pop-up Store yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih. Maklumat mengenai lokasi berkenaan akan diumumkan dan dikemas kini menerusi laman rasmi Honda Malaysia.

Honda City baharu kini boleh ditempah secara dalam talian menerusi prebook.honda.com.my, selain di semua pengedar Honda yang sah di seluruh negara. Pelanggan turut boleh mengakses aplikasi HondaTouch untuk mendapatkan maklumat lanjut. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi laman rasmi Honda Malaysia atau menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020.

Google ads
Back to top button