Pandu Uji

HONDA CIVIC 1.5 TURBO – CIVIC TERBAIK SETAKAT INI!

Biasanya, pandu uji di Borneo, terutama Sabah melibatkan trak pikap. Keadaan jalan yang rugged dan jarak di antara satu-satu tempat agak jauh membuatkan trak pikap mempunyai pasaran yang signifikan di sana.

Tetapi, apabila Honda Malaysia menjemput sekumpulan wartawan memandu uji Civic generasi kesepuluh di sana, ia bukan sekadar mahu memberi kelainan. Tetapi lebih kepada menunjukkan betapa istimewanya Civic kepada jenama tersebut.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (13)

Sejarah membuktikan bahawa Civic lah yang bertanggungjawab memperkenalkan jenama Honda di peringkat global, terutama di pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1973.

Revolusi teknologi dan reka bentuk Civic tidak akan pernah terhenti. Malah, Honda cukup optimis bahawa jentera tersebut akan terus diterima baik oleh pasaran. Biarpun ketika trend pengguna kini tidak memihak kepada sedan segmen C.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (4)

Sepanjang sepuluh generasi tersebut, kita boleh melihat Honda berjaya menghasilkan beberapa model Civic yang benar-benar menyerlah. Antaranya  seperti EG, EK dan sudah tentu FD.

Namun, bukan semua Civic cemerlang dari segi jualan atau reka bentuknya. Tak percaya cuba tengok pada generasi ketujuh dan kesembilan. Sebab itulah Honda perlu memastikan model terbaharu ini mampu menaikkan semula nama Civic ke tahap yang sewajarnya.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (12)

Jelas, tugas itu disempurnakan dengan baik oleh pasukan reka bentuk Honda Amerika. Tidak dapat dinafikan, rekaan gaya fastback Civic FC memang menyerlah. Garis-garis tajamnya nampak begitu ketara, terutama apabila dipadankan dengan warna baru Civic, Lunar Silver.

Kalau pada waktu malam pula, lampu belakang berbentuk C itu nampak begitu cantik dan mahal. Jadi, saya tidak pelik kalau ramai yang membeli Civic baharu ini semata-mata kerana rupanya. Enjin, transmisi, teknologi atau pakej yang ditawarkan menjadi faktor penolak yang kedua atau seterusnya.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (6)

Di Sabah, kami disediakan dengan kedua-dua varian iaitu enjin 1.8-liter i-VTEC berkuasa 141PS/173Nm dan pastinya rangkaian kuasa baharu 1.5 liter turbo pancitan terus VTEC yang mampu menjana kuasa mencecah 173PS dan tork 220Nm.

Ulasan pandu uji ini bagaimanapun hanya fokus kepada varian 1.5 Turbo, kerana itulah Civic yang saya pandu selama tiga hari berada di sana.

Berbanding lokasi biasa di Semenanjung (Pulau Pinang misalnya), laluan berbukit dan bengkang-bengkok yang ada di Sabah nyata membuatkan sesi pandu uji kali ini lebih menarik sangat mengujakan.  

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (7)

Secara tidak langsung saya dapat menguji bagaimana Civic 1.5 Turbo bertindak balas, terutama ketika ditekan keras sepanjang perjalanan menuju ke Gunung Kinabalu park.

Apa yang saya boleh katakan, kombinasi enjin turbo dengan kotak gear CVT itu tidaklah mengecewakan. Kuasa dapat diekstrak dengan baik untuk disalurkan ke roda hadapan. Biarpun ada kalanya ia memerlukan sedikit masa untuk gear diturunkan dan kereta ini mendapat momentum.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (8)

Tubuh Civic juga dapat mengikut gerak stereng dengan meyakinkan tanpa sebarang drama. Sesekali terdengar juga tayar mendecit, mengingatkan pemandu agar jangan terlalu ghairah menekan pedal minyak.

Tipikal sebuah Civic, tempat duduk pemandunya agak rendah. Jadi, mereka yang berketinggian sederhana, sedikit masa diperlukan untuk mencari posisi duduk paling sesuai. Kerusinya juga rasa kurang ‘memeluk’. Saya fikir kerusi pemandu pada Mazda3 dan Altis lebih memberi kepuasan.

Selebihnya, kabin Civic cukup serba-serbi. Sebagai varian paling tinggi, ia dimonopoli dengan tona hitam di pada hampir segenap ruang. Tempat duduknya dibalut kulit bersama kemasan jalur pada bahagian tengahnya.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (10)

Ruang tengah papan pemuka pula dihuni oleh skrin sentuh untuk anda mengawal sistem pendingin hawa, infotainmen, navigasi, selain bertindak selaku paparan untuk kamera undur. Secara peribadinya, saya sukakan rekaan kluster meter digital pada Civic. Ia bukan sahaja informatif, malah nampak cukup premium.

Bahagian kabin Civic dipakejkan dengan begitu baik sekali. Anda boleh mendapat ruang penyimpanan barang dan tempat mengisi botol yang cukup untuk semua orang. Konsol tengahnya turut menempatkan port USB dan HDMI. Ciri-ciri lain yang ditawarkan termasuklah sistem kemasukan pintar, butang penghidup enjin, Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock dan banyak lagi.

Honda-Civic-1.5-Turbo-test-drive-mekanika (3)

Di tempat duduk belakang, walaupun dengan reka bentuk yang menirus, ruang kepala untuk penumpang masih lagi luas. Selesa untuk perjalanan yang jauh atau sederhana.

Anda juga tidak perlu risau dari segi keselamatan kerana Civic 1.5 Turbo dipasang dengan enam beg udara, ISOFIX, Vehicle Stability Assist (VSA), ABS dan Hill Start Assist.

Honda menyifatkan FC sebagai model Civic yang terbaik pernah dihasilkan. Saya percaya ramai yang bersetuju. Kini, pasukan reka bentuk dan jurutera Honda pasti sudah mula pecah kepala untuk memikir serta membangun Civic generasi kesebelas pula. Good luck guys!

Google ads
Back to top button