HONDA N-BOX JOY TAMPIL DENGAN GAYA RETRO, LASAK – HARGA BERMULA RM59K
Honda N-Box Joy kini dilancarkan di Jepun, membawa sebuah lagi pilihan untuk peminat kei car di sana.
Honda N-Box Joy dibina berdasarkan generasi ketiga Honda N-Box, yang mula diperkenalkan tahun lalu.
Varian Joy ini tampil unik dengan bampar yang direka semula, salur udara berbeza, gril hitam, serta rim retro yang memberikan gaya lebih lasak.
Bukan itu sahaja, pembeli juga boleh menambah aksesori seperti gril hitam dengan logo Honda, lampu LED tambahan pada bampar, rak bumbung, spoiler belakang, rim baharu, dan pelekat bergaya untuk menyerlahkan personaliti.
Di bahagian dalam, N-Box Joy menampilkan upholsteri kalis air, dengan corak tartan hitam-beige yang moden, tempat duduk belakang boleh dilipat rata, mewujudkan ruang yang cukup untuk tidur sambil menikmati pemandangan dari pintu but terbuka.
Tambahan lagi, kompartmen tersembunyi di bawah ruang kargo meningkatkan lagi ruang simpanan.
Untuk kemudahan pengembara, Honda menawarkan pelbagai aksesori tambahan seperti jaring, cangkuk, serta penyelesaian storan di sekitar kabin.
Selain itu, awnings juga boleh dipasang di belakang, mewujudkan ruang yang selesa untuk meja dan kerusi lipat.
Perincian lain termasuklah paparan digital 7-inci, pilihan sistem infotainment 9-inci, serta stereng dua jejari.
Honda N-Box Joy menawarkan dua pilihan enjin. Enjin tiga silinder 658cc tanpa turbo menghasilkan 58hp, manakala versi turbo menjana 63hp.
Kedua-dua varian menggunakan transmisi CVT, dengan pilihan pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD), sesuai untuk pelbagai situasi pemanduan.
Harga Honda N-Box Joy di Jepun bermula dari ¥1,844,700 (RM59,600) untuk versi 2WD tanpa turbo, manakala varian 4WD dengan turbo berharga sekitar ¥2,178,000 (RM70,500).
Honda N-Box Joy memberikan pilihan menarik bagi mereka yang mencari van kecil dengan keselesaan dan fungsi tinggi, khususnya bagi peminat aktiviti berkhemah di Jepun.
GALERI:
- BACA: BENTLEY STATE LIMOUSINE – KENDERAAN YANG PERNAH DIGUNAKAN OLEH MENDIANG RATU ELIZABETH II
- BACA: JUALAN KENDERAAN JANUARI HINGGA OGOS CECAH 533,301 UNIT, MENINGKAT 6 PERATUS
- BACA: CIMA2024: SYM HUSKY ADV 300 MASUK MALAYSIA 2025
- BACA: VW TRANSPORTER AKHIRNYA BERGABUNG DENGAN THE TRANSPORTER – STEADY ABANG JASON