Buletin

HONDA N-BOX JOY DENGAN KIT HONDA ACCESS, MENGINGATKAN GAYA LIFE STEP VAN 1972

Kei-car kegemaran pengguna di Jepun dan diminati di pasaran tempatan kini mempunyai varian baharu iaitu N-Box Joy.

Bukan sahaja varian baharu, kit Honda Access juga siap ditawarkan dan menonjolkan lagi penampilan gaya hidup aktiviti luar.

Honda Access menggunakan tema Active Leisure Style yang mengingatkan Honda Life Step Van yang diperkenal pada 1972.

Tulisan Honda yang besar menonjol di depan dan pengguna ditawarkan lampu kabus LED dalam warna kuning atau jernih. Jeriji depan dan lampu kabus LED disekalikan di dalam Active Face Package.

Grafik badan sisi dan belakang serta pelekat Van Life membangkitkan aura nostalgia. Satu lagi aksesori istimewa ialah pelapik penutup tangki minyak dengan huruf N.

Pelanggan juga boleh mendapatkan rim Modulo MS-024 saiz 14 inci.

Bahagian dalam meriah dari alas kaki pelbagai cuaca, jaring, cangkuk barang dan pelapik lantai kargo belakang. 

Untuk berehat sambil menikmati suasana luar Honda menawarkan kanvas kereta yang boleh disangkut pada pintu but.

Jika ruang kargo tidak muat, pembeli boleh dapatkan rak dan bakul bumbung. Banyak lagi senarai aksesori seperti konsol perehat tangan, pintu gelangsar bebas tangan, sistem multimedia dan sebagainya.

N-Box digerakkan enjin 660cc i-VTEC dan turbo dengan padanan kotak gear CVT dan pilihan pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD).

N-Box i-VTEC menghasilkan 59 ps pada 7,300 rpm dan 65Nm pada 4,800 rpm. Model turbo lebih bertenaga dengan 64 ps pada 6,000 rpm dan 104Nm pada 2,600 rpm.

N-Box Joy kini menyertai dua lagi model utama iaitu N-Box dan N-Box Custom dan masing-masing membawa personaliti berbeza.

Harga N-Box Joy bermula dari 1,844,700 yen (RM53,473) sehingga 2,260,500 yen (RM65,556).

Google ads
Back to top button