
CIMA2024: SYM HUSKY ADV 300 MASUK MALAYSIA 2025
Selepas pelancaran global pada bulan April lalu, kami akhirnya berpeluang menyaksikan SYM Husky ADV 300 dengan lebih dekat ketika menghadiri China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA2024) yang berlangsung di Chongqing, China.

SYM Husky ADV 300 merupakan tawaran terbaru SYM untuk pasaran global dan kami memberi tumpuan penuh kepada skuter berkenaan ekoran kami diberitahu bahawa skuter tersebut akan memasuki pasaran Malaysia tahun depan.
Untuk rekod, model 2024 itu dikenali sebagai SYM ADX 300 di pasaran Eropah dan berkongsi kerangka (frame) sama dengan SYM Joyride 300.

Mengekalkan gaya ADV yang sama, Husky ADV 300 itu dikuasakan enjin satu silinder 278cc dengan sistem penyejukan air yang berupaya menghasilkan 25.5hp pada 8,000rpm dan 26Nm pada 6,000rpm.

Seperti versi 150cc yang ditawarkan di Malaysia ketika ini, model 300 ini juga menampilkan kelengkapan terkini antaranya:
- lampu LED
- brek cakera dengan ABS
- traction control
- suspensi belakang dengan lima tahap pelarasan
- rim 15-inci depan, 14-inci belakang
- penghadang angin boleh laras
- handguard

Menariknya, ketika Husky ADV 150 menawarkan panel meter digital berwarna, versi 300cc ini pula dilengkapi meter TFT selain menawarkan tangki 16L.