
HYUNDAI BANGUNKAN ROBOT AUTONOMI UNTUK PADAM KEBAKARAN EV, BOLEH KAWAL DARI JAUH
Perkembangan kenderaan elektrik (EV) perlu seiring dengan teknologi dan kaedah pemadaman kebakaran. Bukan sahaja tanggungjawab kerajaan tetapi juga pengeluar.
Terbaru Hyundai Motor Group (HMG) mengumumkan kerjasama dengan Jabatan Bomba Kebangsaan Korea mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran EV.
HMG telah melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat untuk keselamatan masyarakat.
Mereka juga sedang mencari kaedah praktikal untuk menetapkan langkah-langkah keselamatan kebakaran yang lebih langsung dan berkesan berikutan kemalangan kebakaran EV baru-baru ini.
Susulan itu, HMG telah mengadakan perbincangan mendalam bersama jabatan bomba berdasarkan cadangan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea.
Hasilnya, persetujuan dicapai bahawa bantuan untuk peralatan pemadaman kebakaran yang canggih merupakan keutamaan bagi tindak balas pantas dalam kebakaran EV.
HMG dan jabatan bomba akan bekerjasama membangunkan robot pemadam kebakaran autonomi (unmanned robot) bagi memadam kebakaran di tempat letak kenderaan bawah tanah.
Setiap satu daripada empat pasukan penyelamat khas di Ibu Pejabat Pusat 119 akan menerima robot tersebut pada 2025 untuk digunakan di tempat letak kenderaan yang sukar dimasuki pasukan bomba.
Robot ini dibangunkan berdasarkan kenderaan autonomi pelbagai guna dari Hyundai Rotem.
Di antara kelengkapan yang dipasang seperti penyembur air 65 milimeter (mm), kamera pengimejan haba dan alat penyembur air seperti yang diminta jabatan bomba.
Kenderaan ini pertama kali diserahkan kepada pasukan tentera pada 2021 dan digunakan untuk operasi demonstrasi dan kajian tempur.
Menggunakan robot autonomi membolehkan operasi pemadaman kebakaran dibuat melalui kawalan jauh dan dijangka berkesan untuk situasai kebakaran di bawah tanah yang melibatkan asap tebal dan panas.
Selain robot, HMG akan menderma 250 buah EV-Drill Lance kepada jabatan bomba.
EV-Drill Lance ialah alatan pemadaman kebakaran yang menggunakan tekanan hidraulik untuk menebuk bahagian bawah bateri dan menyembur air ke dalam untuk menyejukkannya.
Tahun lalu, HMG telah melakukan ujian kebakaran bateri menggunakan EV sebenar bersama dua jabatan bomba dan EV-Drill Lance telah menunjukkan keberkesanannya.