" "
Motosikal

TERKINI: YAMAHA YZF-R9 LANCAR 9 OKTOBER INI

Selepas pelbagai spekulasi, dakwaan dan laporan akhirnya Yamaha Motor bakal melancarkan YZF-R9 dalam satu pelancaran global yang akan berlangsung 9 Oktober ini. 

Yamaha mendedahkan tarikh pelancaran tersebut menerusi satu video ‘teaser’ yang di muat naik ke media sosial pada Isnin. 

Walaupun Yamaha tidak menyatakan secara jelas model apa dimaksudkan namun video berdurasi 35 saat itu memberikan beberapa petunjuk jelas. 

Pertamanya, kiraan detik terhenti pada angka “9” sementara klip video tersebut menunjukkan siluet sebuah jentera ‘sportsbike’ dengan menampakkan ‘fairing’ penuh. Pada masa sama penggunaan slogan ‘The Dawn of a New Era’ merujuk pada kemunculan sebuah model serba baharu. 

Yamaha R9 merupakan antara model yang ditunggu-tunggu peminat jenama Jepun itu sejak nama model tersebut dipetik ketika Yamaha melancarkan YZF-R7 dua tahun lalu. 

Apatah lagi media Jepun, Young-Machine turut mendedahkan bahawa nama R9 telah pun didaftarkan di beberapa negara sekaligus mengesahkan kemunculan model itu. 

Seperti R7 yang dipacu enjin CP2 yang terdapat pada MT-07 dan Tenere 700, R9 pula dikuasakan enjin CP3 yang terdapat pada MT-09. Ini bermakna model ‘sportsbike’ itu bakal menawarkan 117.3hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm. 

Meskipun maklumat lain belum dikenal pasti namun kami jangkakan beberapa ciri antaranya traction control, mod menunggang dan quickshifter akan ditawarkan secara standard. 

Apa pun, segalanya akan terjawab pada 9 Oktober ini. 

Google ads
Back to top button