
HYUNDAI UK MERTERAI KERJASAMA DENGAN MOTORSPORT VISION. MASANYA UNTUK TERUS MEMPOPULARKAN JENAMA HYUNDAI
Hyundai UK terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan jenama dari Korea ini di benua Eropah apabila bersetuju menandatangani perjanjian selama tiga tahun untuk menjadi rakan kongsi dan kenderaan rasmi kepada MotorSport Vision (MSV) yang juga merupakan pengendali litar perlumbaan terbesar di Eropah.
Perjanjian tersebut akan membolehkan kenderaan jenama Hyundai digunakan dalam pelbagai peranan meliputi enam litar MSV di England, Brands Hatch di Kent, Donington Park di East Midlands, Oulton Park di Cheshire, Snetterton di Norfolk, Cadwell Park di Lincolnshire dan Bedford Autodrome.

Perjanjian yang termeterai itu sedikit sebanyak mencerminkan tentang kualiti terhadap rangkaian kenderaan semasa dari Hyundai dan akan dipamerkan untuk lebih daripada 60 acara utama sepanjang tahun 2025. Antara siri berprofil tinggi yang akan dihoskan di litar MSV ialah enam pusingan British Touring Car Championship, perlumbaan Superbike World Championship, British Superbike Championship dan GT World Challenge.
Antara kenderaan yang akan membuat kemunculan di litar kelolaan MSV termasuklah Hyundai IONIQ 5 N yang merupakan sebuah model handalan apabila pernah memenangi pelbagai anugerah termasuklah World Performance Car 2024 dan Car of the Year 2023 Topgear.com yang mana ianya akan digunakan sebagai Safety Car.

Enam lagi model Hyundai IONIQ 5 N Line akan bertindak sebagai Course Car, lima buah Hyundai Tucson sebagai Medical Car dan juga enam model baharu daripada Santa-Fe akan digunakan sebagai kenderaan untuk menjemput orang kenamaan.
Disamping itu juga, pihak MSV juga akan menugaskan enam model Tucson untuk digunakan oleh Pengurus litar MSV serta tambahan 12 model i20 N Lines untuk program tuisyen YoungDriver yang popular untuk kanak – kanak berusia 11 – 17 tahun bagi memberikan mereka pengalaman pemanduan pertama yang sebenar kepada golongan muda.

Model IONIQ 5 N ini juga akan mengambil peranan penting di acara PalmerSport yang terkenal di litar Bedford Autodrome yang acara ini telah ditubuhkan sendiri oleh oleh Ketua Pegawai Eksekutif MSV Jonathan Palmer pada tahun 1991. Acara tersebut kini diiktiraf sebagai salah satu pengalaman pemanduan sukan permotoran terbaik di dunia dengan menarik 10,000 tetamu setiap tahun.
Sejumlah lapan modeI IONIQ 5 N akan digunakan sebagai sebahagian daripada acara itu yang merupaka kereta elektrik pertama yang menyertai acara ini sekali gus memberikan peluang buat pengunjung untuk merasai kehebatan model daripada Hyundai ini.
BACA : HYUNDAI IONIQ 5 N TA SPEC DIPANDU NOBUTERO TANIGUCHI CIPTA REKOD TSUKUBA ATTACK!



