
HYUNDAI IONIQ 5 N TA SPEC DIPANDU NOBUTERO TANIGUCHI CIPTA REKOD TSUKUBA ATTACK!
Sebelum ini Mekanika melaporkan mengenai pelumba handalan Jepun, Nobutero Taniguchi bakal memandu Hyundai IONIQ 5 N TA Spec untuk perlumbaan masa Tsukuba Attack 2025.
Acara sudah pun tamat dan rekod masa terpantas baharu bagi kenderaan elektrik berjaya dicatatkan dengan masa 57.446 saat.
Catatan ini memadamkan rekod Tesla Model S Plaid pada Attack Tsukuba 2024 dengan dua saat lebih pantas!
Pencapaian di Tsukuba hanya tujuh bulan selepas IONIQ 5 N TA Spec mencatat rekod EV produksi terpantas di Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) 2024.
Pencapaian ini juga rekod buat Nobutero Taniguchi yang secara keseluruhan memegang lima rekod Tsukuba.
Menurut beliau, IONIQ 5 N TA Spec mempunyai sistem brek cemerlang, pengendalian mantap serta kawalan luar biasa walaupun dengan kuasa yang tinggi.
Beliau juga memaklumkan keupayaan memasuki dan keluar selekoh sangat lancar dan membolehkan kereta dipacu ke tahap maksimum dengan penuh keyakinan.
Walaupun dengan kit badan esktrem, IONIQ 5 N TA Spec mengekalkan perkakasan standard seperti motor, bateri dan elektronik kawalan dengan peningkatan minimum yang diperlukan untuk perlumbaan.
Output kuasa dipertingkatkan kepada 687 PS melalui penalaan perisian dengan motor belakang menerima tambahan 37 PS berbanding model standard IONIQ 5 N.
Selain itu, IONIQ 5 N TA Spec dilengkapi perkakasan berikut:
- N Active Sound+ dengan pembesar suara yang diubah suai (>120 dB).
- Penyerap hentakan baharu untuk kawalan yang lebih stabil.
- Sistem brek spesifikasi perlumbaan untuk keupayaan membrek yang lebih baik.
- Tayar slick Yokohama ADVAN 005 bersaiz 18 inci untuk cengkaman maksimum.
- Kerusi Recaro Pro Racer SPA Hans dan tali pinggang keselamatan Sabelt enam sudut Hans.
- Rangka keselamatan spesifikasi PPIHC & sistem pemadaman kebakaran EV.
Hyundai sudah bertapak di Jepun dan semakin mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV yang sedang berkembang dan baru-baru ini melancarkan SUV elektrik kompak INSTER.
Hyundai turut mempamerkan IONIQ 5 N DK Edition di Tsukuba. Kereta ini dibangunkan bersama Autobacs Seven, syarikat alat ganti dan servis automotif terkemuka Jepun.
DK pula tidak lain tidak bukan merujuk kepada Drift King atau Keiichi Tsuchiya yang terlibat dan memberi sentuhan di dalam projek ini.
Hanya 50 unit pakej talaan eksklusif IONIQ 5 N DK Edition dikeluarkan untuk pasaran global dengan pelancaran bermula di Korea dan Jepun sebelum ke pasaran lain.
Harga? 24.5 juta won atau bersamaan RM75,582.




Hyundai IONIQ 5 N DK Edition





