Artikel PilihanBuletin

INDUSTRI KERETA ELEKTRIK CHINA, SURATAN ATAU KEBETULAN?

Hari ini kita boleh lihat industri kereta elektrik China begitu pesat. Entah dari mana datangnya tiba-tiba sahaja begitu banyak model elektrik dikeluarkan, ada dari jenama terkenal dan ada juga dari yang tidak dikenali.

Daripada mana datangnya kesemua teknologi ini? Malah teknologi yang dimiliki pengeluar ini dengan jarak luar biasa ibarat satu fantasi. Crossover Geely Emgrand GSE yang dilancarkan pada Jun lalu misalnya mampu bergerak sehingga 460km mengatasi Nissan dengan jarak 400km.

Sebelum itu Geely telah mempunyai sedan elektrik yang berjaya iaitu Emgrand EV dengan jarak perjalanan 300km. Model ini terjual sebanyak 17,000 unit pada tahun 2016 dengan harga jualan sebanyak CHY 195,800 (RM124,000).

Subsidi kerajaan China membolehkan model ini dijual pada harga CHY 128,800.

Emgrand GSE – Jarak perjalanan 480 km!

Adakah semua ini terjadi secara kebetulan? Tidak.

Geely telah menggaji sekitar 2,500 orang pakar di seluruh dunia dalam bidang kejuruteraan tenaga baharu. Fokusnya adalah pembangunan jentera hibrid, elektrik sepenuhnya, sel bahan api dan teknologi bahan bakar alternatiif.

Emgrand EV. Model EV terlaris Geely. Harga sekitar RM 124 ribu

Perkembangan itu selari dengan Blue Geely Initiative yang diumumkan pada tahun 2015, di mana Geely mahu menghasilkan kenderaan bertenaga baharu secara massa menjelang tahun 2020.

Geely Auto Group (keseluruhan kumpulan automotif) meletakkan sasaran 90 peratus jualan melibatkan kenderaan berkenaan yang dibina berasaskan kepada 3 teknologi utama iaitu elektrik (EV), plug-in electric (PHEV) dan hybrid electric (HEV).

Itu hanyalah secebis kisah pengeluar di China. Ada banyak lagi syarikat besar dan kecil berlumba dalam segmen EV dan di China kenderaan bateri bermula dari sekecil-kecil basikal, buggy hinggalah kepada bas.

Bagaimana industri EV dimulakan secara formal di China? Berikut ialah butirannya:

  • 1995 – Kementerian Sains dan Teknologi China telah meletakkan pembangunan EV sebagai priotiti dalam Rancangan Lima Tahun Kesembilan.
  • 2001 – Projek 863 EV dimulakan. Nama projek ini asalnya sempena bulan dan tahun ditubuhkan pada Mac 1986 dan memberi fokus kepada sains dan teknologi. Projek ini didana dan diuruskan kerajaan supaya China mempunyai pengetahuan dalam sains dan teknologi serta industri berkaitan
  • Pada awalnya di antara hasil projek 863 asal ialah superkomputer, program angkasa dan kemudian pada tahun 2001, Projek 863 EV adalah khusus untuk kenderaan elektrik
  • 2004 – Suruhanjaya Reformasi dan Pembangunan Kebangsaan telah mengeluarkan Polisi Pembangunan Industri Automotif. 16 buah syarikat berkaitan kerajaan menubuhkan Persatuan Industri Kenderaan Elektrik di Beijing dikenali sebagai CEVA. Persatuan ini akan berkerjasama dalam membangunkan dan mendanai industri EV
  • Dari 1995 sehingga 2004 beberapa prototaip dikongsi, dibangunkan dan dihasilkan hasil kerjasama dengan syarikat asing seperti GM, Chevrolet, Toyota, Citroen malah China mempunyai kereta dan bas EV sendiri
  • 2007 – China melabur lebih dari RMB 2 bilion (AS 300 juta) dalam pembangunan kenderaan tenaga baharu
  • 2008 – Mulanya kebangkitan jualan EV di China. Jualan separuh tahun pertama mencecah 366 unit dengan peningkatan tahunan sebanyak 107.9 peratus. Sejumlah kenderaan mesra alam dibina untuk kegunaan Olimpik Beijing
  • 2009 – Majlis Negara (State Council) meluluskan Pelan Penstrukturan dan Revitalisasi bagi melabur dalam RMB 10 bilion (AS 1.5 bilion) untuk program pengkomersilan EV
  • Majlis Negara melabur RMB 20 bilion (AS 3 bilion) dalam pembangunan teknik
  • Bagi menambah baik kualiti udara dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak, kerajaan mengumumkan program rintis subsidi kenderaan tenaga alternatif di lima bandar iaitu Shanghai, Changchun, Shenzhen, Hangzhou dan Hefei
  • Subsidi yang diberikan kepada pembeli BEV ialah RMB 60,000 dan RMB 50,000 untuk PHEV
  • 2010 – Pelan Pembangunan Industri Automotif (termasuk tenaga baharu) dari tahun 2011 hingga 2020 dirangka bagi transformasi industri automotif domestik. Kelulusan ditangguhkan. China mahu mengembangkan program penggunaan kenderaan cekap tenaga dan tenaga alternatif untuk pengangkutan awam dari 13 kepada 20 bandar
  • 2011 – Setelah menjalani pelbagai fasa, kini terdapat beberapa pengeluar dan syarikat P&P EV besar di China. Syarikat tersebut ialah SAIC, FAW, Dongfeng, Chana, BAIC, GAC, Chery, BYD dan Geely
  • Selain itu beberapa institut P&P ditubuhkan seperti di Universiti Tsinghua, Institut Teknologi Beijing, Universiti Tongji yang kesemuanya mengfokuskan kepada penyelidikan NEV
Toyota RAV4 EV. Juga pernah disumbangkan untuk projek EV China. Mariordo – Mario Roberto Durán Ortiz [CC BY-SA 3.0 (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)], from Wikimedia Commons
Dari 2011 sehingga sekarang adalah sejarah di mana China telah maju ke hadapan dalam kenderaan EV. Jenama lain seperti Nissan dan Tesla nampak lebih ke hadapan dalam memasarkan produk mereka tetapi jika di tanya negara mana paling hebat dalam teknologi ini jawapannya ialah China.

Pada asasnya China mahu fokus kepada sains dan teknologi dan kemudian merebak kepada industri automotif. Dengan jumlah jualan kenderaan sekitar 24 juta setahun, ini adalah negara yang paling sesuai bukan sahaja kerana jimat minyak tetapi penting untuk alam sekitar.

Proton Exora REEV dalam satu pertandingan di UK. Somaditya Bandyopadhyay [CC BY-SA 2.0 (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)], via Wikimedia Commons
Landskap industri automotif pasti berbeza dalam masa lima tahun lagi dan apa pula perancangan kita? Tunggu kerana dengar kata kerajaan sedang memperhalusi Dasar Automotif Negara (DAN) yang lebih komprehensif dalam teknologi mesr alam.

Sekarang ini pun kita sudah meraih banyak faedah dari DAN yang memberi tumpuan kepada Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Kredit: Wikipedia, Chinacarhistory.com

Google ads
Back to top button