Buletin

INI 3 KERETA CHINA YANG HAMPIR SAMA DENGAN KERETA BARAT

Mereka yang berada di Barat mempunyai satu perkara untuk dibanggakan dalam dunia automotif. Mereka adalah pencetus kepada industri automotif moden.

Industri pembuatan kereta adalah suatu yang besar, ia adalah tulang belakang kepada ekonomi sesebuah negara. Bayangkan Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan tanpa industri automotif?

Pasti akan merasa lompong. Malah kualiti sesebuah model juga sering dikaitkan dengan kejuruteraan sesebuah negara.

Sebagai contoh kenderaan jenama Jerman mempunyai tahap tinggi dalam bidang kejuruteraan manakala jenama buatan Jepun pula boleh diharap dan tahan lasak.

Selepas melalui beberapa era dalam industri ini, masanya telah tiba untuk China pula merebut pasaran dunia. Seperti biasa dalam peringkat awal usaha ini akan ditertawakan.

Ia telah berlaku pada Jepun dan Korea Selatan sebelum mengecapi kejayaan hari ini. Mampukah China berjaya satu hari nanti?

Mungkin iya berdasarkan beberapa faktor. Pertama pasaran domestik China begitu besar iaitu sekitar 24 juta unit kenderaan penumpang dijual setiap tahun.

Kedua ialah undang-undang di China memerlukan syarikat asing untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan sebelum lesen boleh dikeluarkan. Ini secara langsung membolehkan perkongsian teknologi dan kepakaran.

Ketiga ialah firma China mempunyai wang dan boleh mengupah sesiapa sahaja untuk bekerja atau membeli syarikat asing. Mereka yang pakar dalam dunia automotif telah banyak berhijrah ke syarikat China manakala Zhejiang Geely adalah contoh bagaimana penguasaan syarikat asing dibuat.

Sebelum syarikat automotif China ini mampu berdiri sendiri nampaknya ada yang lebih cenderung mengambil terus model-model popular dari barat. Kami bawakan kepada anda beberapa contoh model seperti berikut:

1. Suzhou Eagle Carrie

Macam pernah lihat? Iya model ini ibarat Ferrari California T digabungkan dengan Porsche Cayman. Suzho Eagle Carrie adalah sebuah kereta elektrik yang dipertontonkan pada tahun 2015. Kami tidak pasti ia dijual atau hanya untuk pertunjukan.

Suzhou Eagle sebenarnya adalah syarikat kenderaan elektrik dengan pelbagai produk daripada buggy golf sehinggalah kenderaan bomba elektrik. Syarikat ini diasaskan pada tahun 1999.

Kredit foto: Suzhou Eagle Electric Vehicle Manufacturing Co.,Ltd.

2. BYD S8 

Ini adalah BYD S8. Serupa dengan Mercedes-Benz CLK bukan? Bahagian belakang pula ala Renault Megane. Kereta ini mula dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Shanghai 2006. Pada 2010 kereta ini dijenamakan semula sebagai F8 dan tiada lagi khabar selepas itu.

Sebelum ada yang memandang sinis, BYD sekarang ini mempunyai kerjasama dengan Daimler AG bagi menghasilkan kereta mewah elektrik di bawah jenama Denza.

Pada tahun 2016, BYD adalah syarikat pengeluar kenderaan plug-in elektrik terbesar dunia dengan jualan melebihi 100 000 unit.

Kredit foto: – Brücke-Osteuropa/Wikimedia

3. Landwind X7

Ini adalah contoh kereta yang mendapat perhatian meluas di peringkat global. Landwind X7 mempunyai begitu banyak persamaan dengan Range Rover Evoque.

Menariknya ialah Evoque dipertontonkan di acara yang sama dengan Landwind X7 di Pameran Kenderaan Shanghai 2014. Pada 2016, Jaguar Land Rover telah membawa kes pengeluar Landwind X7 iaitu Jiangling ke mahkamah di atas pelanggaran hak cipta dan persaingan tidak adil.

Tidak dapat dipastikan apa kesudahan kes mahkamah ini, ada laporan mengatakan kedua-dua syarikat telah berbincang mengenai perubahan pada wajah baharu X7.

Walaupun menerima kritikan kuat, di bawah ialah model SUV terbaru Landwind iaitu Xiaoyao yang dilancarkan pada 2017. Menarik juga bukan?

Kredit Jengtingchen – Wikimedia

Kereta-kereta buatan China dipandang sinis tetapi ia hanyalah permulaan sahaja. Mungkin sengaja untuk bermain dan menguji pasaran sambil belajar.

Jika anda mengikuti rapat perkembangan teknologi automotif China sekarang ini terutama sekali kenderaan elektrik percayalah satu hari nanti ia bakal membuat kejutan. Jepun sudah berjaya, Korea Selatan juga sudah berjaya. Kedua-duanya bermula dengan meniru.

Google ads
Back to top button