
INI ALASAN HONDA KENAPA MEREKA MASIH BERSENDIRIAN…
Honda, jenama automotif yang secara teorinya, masih bersendirian dalam membangunkan perniagaan mereka. Kesemua divisyen daripada motosikal, kereta, mesin dan jentera serta pesawat udaranya dibangunkan sendiri tanpa gabungan atau kerjasama dengan mana-mana syarikat lain.
Sudah tentu, ia bukanlah mudah kerana selain fakta kos dan kekangan masa, Honda tentu sahaja sukar untuk bersaing dengan hampir kesemua pengeluar yang kini berada dalam pakatan ataupun kerjasama sesama pengeluar.
Kumpulan Volkswagen telah buktikan pakatan mereka berjaya, begitu juga Renault-Nissan-Mitsubishi dan yang terbaru FCA-PSA. Jadi apa alasan Honda sebenarnya? Mengapa mereka masih bersendirian?

Menurut CEO Honda, Hachigo-san mereka memang tiada perancangan langsung untuk mewujudkan sebarang pakatan atau kerjasama dengan syarikat lain.
Alasannya agak mudah. Memiliki rakan niaga baru akan menyebabkan keputusan sukar dibuat. Susah untuk mempunyai dua pembuat keputusan apatah lagi jika Honda sudah menetapkan dasar dan polisi mereka sendiri.
Hachigo-san juga memberitahu, atas sebab ini, Honda akan sukar bergerak sesuai dengan apa yang mereka inginkan.
Walaupun begitu, Honda bukanlah tidak pernah menjalinkan kerjasama. Misalnya dengan General Motors. Namun menurut CEO Honda itu lagi, kerjasama dengan pihak GM adalah sebuah win – win collaboration, bukan capital tie up ataupun pakatan.
Baik Honda ataupun GM, mereka bekerja bersama untuk mengembangkan teknologi hydrogen fuel cell, dan komponen kenderaan elektrik. Ia tidak melibatkan sebarang kepentingan pasaran, pemasaran, R&D ataupun perkongsian modal. Kerjasama ini lebih kepada kepentingan perkongsian teknologi secara kolektif.
Jika dilihat secara umum, keputusan Honda untuk bersendirian mungkin kelihatan sangat defensif dan kurang berdayasaing. Namun dari sudut falsafah dan pendirian, kebanyakan syarikat Jepun mempunyai pendirian serupa.
Dalam keadaan pasaran automotif yang lebih cenderung kepada elektrik dan autonomi, pendirian Honda ini mungkin sesuatu yang sangat berisiko, namun kita tidak tahu apa sebenarnya yang mereka rancangankan 10 tahun lagi.