Buletin

DUTERTE ARAH MENTERI KABINET GUNA TOYOTA AVANZA SEBAGAI KENDERAAN RASMI

Sebagai sebahagian gaya pentadbirannya yang keras, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilapor merancang menukar sedan mewah kepada kereta lebih murah untuk kegunaan jemaah menterinya. 

Memetik laporan Inquirer, Duterte telah memilih Toyota Avanza sebagai kenderaan rasmi yang akan digunakan oleh majoriti pegawai kanan kerajaan.

Speaker Dewan Rakyat, Pantaleon lvarez mendedahkan kepada media Avanza dipilih kerana ia merupakan antara kereta paling murah. Langkah itu juga diambil supaya barisan kabinet Duterte lebih dihormati oleh rakyat. 

Apatah lagi tumpuan utama kerajaan Filipina sekarang adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan. 

Ditanya adakah dia akan menurut arahan itu, Alvarez memberitahu dia akan berbuat demikian mengikut keadaan. Dia bagaimanapun akan terus menggunakan trak pikap kerana berasa lebih selesa terutama ketika berada di kawasan pedalaman.  

Duterte mahu ahli kabinetnya menjalani kehidupan yang berjimat-cermat. Dia sebelum ini pernah mengarahkan mereka supaya tidak membeli tiket penerbangan kelas perniagaan, jangan menggunakan dana awam untuk benda tidak berfaedah dan dihalang daripada memiliki kereta mewah. 

Presiden itu juga merancang mahu mendedahkan penjimatan yang telah dibuat oleh pentadbirannya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 30 Jun 2016 dan dipilih semula baru-baru ini. 

Datuk Bandar Davao City selama dua dekad yang berusia 71 tahun itu dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden di Malacanang dan bukannya di Quirino Grandstand, di Rizal Park, Manila.

Google ads
Back to top button