INI SASARAN ALEX MARQUEZ UNTUK MUSIM MOTOGP 2020
Pelumba baharu pasukan repsol Honda, Alex Marquez menetapkan sasaran untuk menjadi rookie terbaik bagi musim MotoGP 2020.
Menjadi antara kejutan terbesar pada tahun 2019, Alex dinamakan sebagai pengganti Jorge Lorenzo selepas bekas juara dunia lima kali itu mengumumkan persaraannya.
Pemilihan Alex menyaksikan gandingan adik beradik berada dalam satu pasukan sama, pertama dalam sejarah MotoGP.
Selepas menguji jentera Honda RC213V buat kali pertama dalam sesi ujian pra-musim di litar Valencia dan Jerez November lalu, Alex tampil dengan pakaian rasmi Repsol Honda. Ditanya mengenai peluang untuk membuat kejutan, dia mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam tempoh singkat.
“Matlamat pertama saya ialah mahu menjadi Rookie of the Year. Tetapi, untuk mencapainya, saya perlu fokus dalam memahami kareker jentera dan mendapat keyakinan. Sebelum perlumbaan di Qatar, saya boleh melihat posisi sebenar kami dan apa yang boleh dilakukan bermula dari perlumbaan pertama.
“Saya rasa, setiap rookie memasang impian untuk berada dalam pasukan factory. Selepas memenangi kejuaraan Moto2 sasaran adalah untuk menjadi pelumba pasukan factory dan impian itu menjadi kenyataan. Menjadi sebahagian daipada pasukan Repsol Honda yang mempunyai banyak sejarah dalam MotoGP sememangnya satu penghormatan yang besar.
“Saya tahu ia merupakan satu cabaran yang hebat. Sejak awal lagi saya mahukan peluang ini 100 peratus dan saya kini cuba untuk menikmatinya,” kata Alex.
Pelumba berusia 23 tahun itu juga sedar dengan situasi unik yang perlu dihadapinya kerana perlu berkongsi paddock dengan abangnya sendiri, Marc. Mengakui ia memberi banyak kelebihan, tetapi dia tetap mahu membentuk satu situasi yang normal sebagai rakan sepasukan dan pesaing.
“Memang satu kelebihan berada dalam satu garaj dengan Marc kerana saya boleh melihat banyak data dan bagaimana mahu menunggang jentera Honda. Jadi, saya akan cuba untuk mendapatkan input daripada Marc dan semua pelumba Honda, selain belajar sebanyak mungkin,” jelas Alex.
Untuk gelaran rookie terbaik, Alex perlu bersaing dengan pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3, Iker Lecuona dan pelumba Red Bull KTM, Brad Binder.
kredit foto: motogp.com
- BACA: ALEX MARQUEZ TERJATUH PADA SESI UJIAN PERTAMA MOTOGP. MENGAKU BUAT KESILAPAN ‘ROOKIE’
- BACA: INI ALASAN HONDA KENAPA MEREKA PILIH ALEX MARQUEZ
- BACA: ALEX MARQUEZ 10 KALI LEBIH LAYAK SERTAI REPSOL HONDA, BERBANDING ZARCO – ALEIX ESPARGARO
- BACA: SAYA MAHU MOTOSIKAL PALING LAJU DAN BUKANNYA YANG MUDAH DIKAWAL – MARC MARQUEZ