
INI HONDA JAZZ VERSI AS – DENGAN TRANSMISI 6 KELAJUAN MANUAL DAN HONDA SENSING
Honda Jazz facelift sudah dilancarkan di beberapa negara ASEAN. Menariknya model facelift itu pertama kali dipamerkan di Malaysia, seterusnya dilancarkan di Thailand dan disusuli oleh Filipina. Lebih menarik, Jazz atau Fit facelift baru sahaja dilancarkan iaitu pada 30 Jun lepas di tanah kelahirannya iaitu di Jepun.
Pada Isnin, Honda Amerika Syarikat mengumumkan Fit facelift akan mula tiba di pengedar Honda di serata negeri. Honda Fit pasaran AS tampil dengan rekabentuk luaran sama seperti model ASEAN. Lazimnya, ciri-ciri estetik Honda AS berbeza dengan pasaran global terutama sekali pasaran ASEAN.
Honda Fit AS dipasarkan melalui empat varian utama iaitu Fit LX, Fit Sport, Fit EX dan Fit EX-L. Kesemua varian kecuali Fit EX-L dipadankan dengan dua pilihan transmisi iaitu CVT atau enam kelajuan manual.
Berbanding Jazz pasaran Thailand dan Jepun, model RS tidak dipasarkan di AS dan ia diganti dengan Fit Sport berwarna Helios Yellow dan Orange Fury.
Daripada segi susunan varian, Fit LX dan Fit Sport paling istimewa yang dilengkapi teknologi Honda Sensing terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Brake Braking System™ (CMBS™) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW).
Fit 2018 juga menerima beberapa perubahan talaan pengendalian. Dinamik kenderaan lebih baik dengan talaan semula peredam suspensi, sistem stereng lebih tegar dan tambahan pengukuhan badan kereta.
Tidak cukup dengan itu, suasana interior lebih senyap dengan penambah baikan pada gantungan transmisi dan stereng yang digabungkan bersama cermin laminasi akustik dan tebatan bunyi di serata kereta.
Honda Fit pasaran Amerika Utara dikeluarkan dari kilang Honda Celaya, Mexico menggunakan peralatan yang dibuat dari pasaran domestik dan global.
Honda Fit 2018 dipasarkan pada harga cadangan USD 16,190 (RM 69,419.11) untuk varian LX dengan transmisi manual enam kelajuan manual. Varian paling premium ialah Fit EX-L dengan Navi iaitu USD 21,520 (RM 92,288.54).
Bacaan menarik tentang Jazz yang telah dimodifikasi: