Buletin

BELUM SEMPAT JUAL SEBUAH KERETA, IMPIAN AUTOMOTIF DREAME TERKUBUR

Hasrat syarikat teknologi China, Dreame, untuk menembusi industri automotif nampaknya berakhir lebih awal daripada jangkaan.

Menurut laporan media tempatan China, syarikat yang terkenal dengan produk vakum pintar dan peralatan rumah itu dilaporkan menghentikan pembangunan kenderaannya selepas kira-kira setahun mengumumkan kemasukan ke sektor tersebut.

Dreame mula menarik perhatian pada Ogos 2025 apabila memperkenalkan lakaran sebuah coupe empat pintu berprestasi tinggi yang mencetuskan kontroversi kerana reka bentuknya dikatakan terlalu mirip dengan Bugatti Chiron.

Tidak lama kemudian, syarikat itu turut memperlihatkan konsep SUV mewah yang dikaitkan dengan pengaruh reka bentuk Rolls-Royce Cullinan.

Menjelang awal 2026, divisyen automotif baharunya yang dikenali sebagai “Starry Sky” tampil di pameran CES dengan sebuah konsep supercar fizikal bernama Nebula Next 01.

Model itu kemudiannya disusuli oleh sebuah SUV beridentiti “X” serta Nebula Next 01 Jet Edition yang diperkenalkan pada April lalu.

Apa yang mencuri perhatian ketika itu ialah dakwaan prestasi luar biasa model Jet Edition tersebut. Dreame mendakwa kenderaan berkenaan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 0.9 saat menerusi teknologi pendorongan berasaskan roket, satu angka yang jauh mengatasi kebanyakan kereta prestasi tinggi di dunia.

Namun, beberapa bekas pekerja yang dipetik oleh media China mendakwa sebahagian besar projek tersebut tidak berada pada tahap pembangunan seperti yang dipersembahkan kepada umum.

Mereka mendakwa supercar yang dipamerkan di CES tidak mempunyai casis lengkap dan perlu digerakkan menggunakan kawalan jauh.

Selain itu, konsep “Rocket Car” berkenaan dikatakan berasal daripada syarikat pembuat model sebelum diubah suai dengan komponen tambahan bagi tujuan demonstrasi.

Laporan sama turut menyebut jumlah tenaga kerja automotif Dreame yang pernah menghampiri 1,000 orang kini telah dikurangkan secara drastik kepada hanya beberapa puluh kakitangan bagi menguruskan proses penutupan operasi.

Pengawasan pihak berkuasa China terhadap sumber pembiayaan dan pelaburan juga dipercayai menjadi antara faktor yang menyukarkan kelangsungan projek tersebut.

Dengan perkembangan itu, Dreame dilaporkan akan kembali memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya seperti vakum pintar, mesin pemotong rumput robotik, kenderaan dua roda elektrik dan pembangunan robot, sekali gus menamatkan impian singkatnya dalam dunia automotif sebelum sempat menjual walaupun sebuah kereta kepada pelanggan.

Google ads
Back to top button