
BYD MALAYSIA PERLUAS INISIATIF PEMULIHARAAN ALAM MENERUSI FASA KEDUA LIGHT THE CHANGE
Selepas melaksanakan penanaman pokok di kawasan bandar menerusi Fasa 1 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Light the Change, BYD Malaysia kini memperluaskan usaha kelestariannya ke kawasan pesisir pantai melalui projek pemuliharaan bakau di Kampung Budaya Mah Meri, Pulau Carey.
Bagi fasa terbaharu ini, BYD Malaysia bersama DENZA Malaysia telah menanam sebanyak 380 pokok daripada spesies tempatan termasuk Bakau Kurap, Nyireh dan Nipah.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu memulihkan ekosistem pesisir pantai selain menyokong kelestarian komuniti Orang Asli Mah Meri yang telah lama bergantung kepada sumber alam sekitar di kawasan berkenaan.
Program itu merupakan kesinambungan kepada lebih 1,200 ikrar penanaman pokok yang dikumpulkan daripada orang ramai semasa Festival BYD Light the Change yang berlangsung pada penghujung tahun lalu.

Pada awal tahun ini, syarikat berkenaan telah melaksanakan Fasa 1 menerusi penanaman 120 pokok daripada 10 spesies tempatan di The Waterfront @ ParkCity dengan kerjasama Desa ParkCity dan Sekolah Antarabangsa ParkCity (ISPKL).
Melalui Fasa 2, tumpuan kini diberikan kepada pemuliharaan hutan bakau yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan biodiversiti, melindungi habitat marin serta mengukuhkan daya tahan kawasan pantai terhadap perubahan alam sekitar.
Program tersebut turut menonjolkan hubungan erat antara komuniti Mah Meri dengan alam semula jadi. Hutan, sungai dan kawasan bakau bukan sahaja menjadi sumber kehidupan mereka sejak turun-temurun, malah merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang masih dipelihara sehingga kini.
Aktiviti penanaman itu melibatkan penyertaan Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, kakitangan BYD Malaysia, rakan pengedar BYD dan DENZA serta sukarelawan pelajar dari SMK Telok Panglima Garang.

Para peserta turut bekerjasama dengan pasukan Kampung Budaya Mah Meri yang diketuai oleh Pengarahnya, Rashid Esa, dalam menjayakan aktiviti penanaman sambil mendalami budaya serta kepentingan ekosistem bakau kepada kehidupan masyarakat setempat.
Menurut Jacob Ma, usaha tersebut mencerminkan kepercayaan BYD bahawa perubahan positif bermula daripada tindakan yang nyata dan berterusan.
“Melalui kerjasama bersama komuniti Mah Meri, kami bukan sahaja dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, malah berpeluang mempelajari nilai serta kebijaksanaan masyarakat yang telah hidup selari dengan alam semula jadi sejak sekian lama.
“Usaha ini bukan sekadar menanam pokok, tetapi juga membina hubungan yang bermakna antara komuniti, organisasi dan generasi muda demi masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Sementara itu, Rashid berkata alam sekitar merupakan sebahagian daripada identiti masyarakat Mah Meri dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau menyifatkan penglibatan BYD Malaysia, para pelajar dan sukarelawan sebagai langkah positif dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan melindungi ekosistem bakau serta warisan komuniti tersebut.
Selain aktiviti penanaman, para peserta turut didedahkan dengan pelbagai elemen budaya Mah Meri termasuk persembahan Tarian Topeng tradisional, seni ukiran kayu, kemahiran memburu tradisional, pembuatan atap, pakaian tradisional serta adat perkahwinan masyarakat itu.
Pokok-pokok bakau yang ditanam akan dipantau dan diselenggara secara berterusan sebagai sebahagian daripada pelan pemuliharaan jangka panjang.
Dengan jumlah keseluruhan 500 pokok yang telah ditanam di dua lokasi setakat ini, program Light the Change terus mengubah ikrar orang ramai kepada tindakan pemuliharaan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.
Menerusi inisiatif tersebut, BYD Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha pemulihan ekosistem, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti setempat, sejajar dengan matlamat syarikat untuk membantu menyejukkan bumi sebanyak 1°C.







