
APLIKASI INI BOLEH JADIKAN TELEFON PINTAR SEBAGAI KUNCI KERETA
Selepas mencuba sendiri Leapmotor B10 minggu lalu dari aspek pemanduan dan perkakasan, kali ini perhatian penulis dialihkan kepada satu lagi bahagian yang mungkin tidak begitu diberi perhatian ketika membeli sebuah kereta elektrik, iaitu perisian atau lebih tepat lagi, Leapmotor Apps yang disediakan untuk pemilik B10.
Pada harga bermula RM107,800 untuk varian LIFE dan RM118,800 untuk varian DESIGN di Malaysia, B10 bukan sekadar menawarkan sebuah SUV elektrik dengan sistem bantuan pemanduan dan perkakasan moden tetapi turut hadir dengan ekosistem aplikasi yang membolehkan pemilik berinteraksi dengan kereta melalui telefon pintar.
Perkara pertama yang menarik perhatian ialah pemilik boleh melihat status kenderaan secara terus melalui aplikasi. Dalam satu paparan, kita boleh melihat baki bateri, anggaran jarak perjalanan, membuka atau menutup pintu dan tingkap, status pengecasan serta maklumat berkaitan kenderaan.
Malah lokasi semasa kereta turut boleh dipaparkan pada peta, menjadikan telefon seolah-olah satu pusat kawalan mudah alih untuk B10. Dalam penggunaan sebenar walaupun fungsi ini nampak kecil tetapi sebenarnya sangat berguna.

Sebagai contoh, sekiranya anda terlupa sama ada pintu kereta sudah dikunci atau belum selepas meninggalkan kenderaan, kita tidak perlu berpatah balik untuk memeriksanya. Status tersebut boleh disemak terus melalui aplikasi dan pintu juga boleh dikunci dari jauh.
Fungsi remote locking dan unlocking memang disenaraikan sebagai sebahagian daripada Leapmotor Connected Services untuk pasaran Malaysia. Leapmotor App juga membolehkan pemilik mengawal beberapa bahagian lain pada B10, termasuk membuka bonet belakang dan sunshade.
Untuk varian yang mempunyai kelengkapan berkaitan, sistem turut menyokong kawalan tempat duduk berpengudaraan atau pemanas serta pemanasan stereng melalui aplikasi. Dalam aplikasi yang digunakan pada B10 yang kami cuba, fungsi shortcut juga boleh disusun mengikut keutamaan.
Satu lagi fungsi yang sangat sesuai dengan keadaan cuaca Malaysia ialah kawalan suhu kabin dari jauh. Pemilik boleh menghidupkan sistem pendingin hawa sebelum masuk ke dalam kereta, sekali gus membolehkan kabin disejukkan terlebih dahulu ketika B10 sedang diparkir.

Aplikasi juga memaparkan suhu dalaman kenderaan, jadi pemilik boleh mengetahui keadaan kabin sebelum sampai ke kereta. Leapmotor sendiri menyenaraikan remote air-conditioning control dan one-touch vehicle preconditioning sebagai sebahagian daripada Connected Services.
Untuk sebuah EV, fungsi yang lebih menarik pula ialah battery pre-heating. Melalui aplikasi, pemilik boleh mengaktifkan pemanasan bateri dari jauh sebagai sebahagian daripada persediaan sebelum pemanduan atau pengecasan.
Dalam aplikasi B10 yang kami cuba, fungsi Battery Preheating memang tersedia sebagai salah satu shortcut. Fungsi ini lebih relevan ketika hendak mengecas kerana suhu bateri mempunyai kaitan dengan keupayaan bateri menerima kuasa pengecasan secara optimum.
Pengurusan pengecasan juga boleh dilakukan melalui aplikasi. Pemilik boleh melihat tahap pengecasan semasa, menetapkan had pengecasan dan menggunakan fungsi pengecasan berjadual. Manual Leapmotor turut menyenaraikan fungsi scheduled charging serta jadual battery preheating dalam Charging Centre.

Dalam penggunaan kami sendiri, aplikasi menunjukkan B10 sedang dicas pada 75 peratus dengan had pengecasan yang boleh ditetapkan kepada 80 atau 85 peratus. Ia juga memaparkan anggaran masa yang diperlukan untuk mencapai had tersebut, selain menunjukkan arus, voltan dan kuasa pengecasan semasa. Ini menjadikan aplikasi bukan sekadar alat kawalan, tetapi juga satu cara mudah untuk memantau proses pengecasan tanpa perlu datang semula ke kereta.
Namun begitu, fungsi yang paling menarik pada pandangan kami ialah Bluetooth Key.
Leapmotor membolehkan telefon pintar digunakan sebagai kunci digital melalui fungsi Bluetooth Key. Ini bermakna telefon boleh menggantikan kunci fizikal untuk akses kepada kenderaan. Sistem ini menggunakan sambungan Bluetooth dan membolehkan telefon yang telah diberikan kebenaran berinteraksi dengan kenderaan apabila berada berdekatan.
Dalam pengalaman kami dengan B10, fungsi ini menjadikan telefon hampir seperti kunci kereta sebenar. Selepas fungsi tersebut diaktifkan dan telefon diberikan kebenaran, pemilik tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kunci fizikal untuk kegunaan harian. Ini sangat berguna bagi mereka yang memang sudah terbiasa membawa telefon ke mana-mana tetapi kadang-kadang terlupa membawa kunci kereta.
Bagaimanapun, terdapat satu lapisan keselamatan tambahan pada B10. Fungsi digital key tidak bermaksud telefon sahaja sudah cukup untuk terus memandu tanpa sebarang pengesahan. Dalam konfigurasi B10 yang dipasarkan di Malaysia, terdapat proses pengesahan melalui nombor PIN pada skrin tengah sebelum kereta boleh dipandu.

Selain menjadi kunci digital, aplikasi juga boleh digunakan untuk mencari kereta. Kedudukan B10 boleh dipaparkan pada peta secara masa nyata dan pemilik boleh mengaktifkan hon dari jauh untuk membantu mengenal pasti lokasi kereta, terutama di kawasan parkir yang besar. Fungsi car locator dan remote horn memang disenaraikan dalam ciri rasmi aplikasi.
Aplikasi ini juga mempunyai fungsi menghantar lokasi atau destinasi kepada kereta. Dalam kemas kini aplikasi terbaharu, Leapmotor telah menambah fungsi untuk menghantar lokasi ke kenderaan melalui Google Maps. Kemas kini yang sama turut memperkenalkan fungsi geofencing, widget pada skrin utama telefon dan beberapa penambahbaikan berkaitan pengecasan serta OTA.
Bagi pemilik Leapmotor B10, semua ciri ini menjadikan pengalaman memiliki kereta sedikit berbeza berbanding kereta konvensional. Kalau dahulu kunci fizikal menjadi satu-satunya penghubung antara pemilik dengan kereta, kini telefon pintar boleh mengambil alih sebahagian besar fungsi tersebut.
Namun secara keseluruhannya, selepas mencuba sendiri Leapmotor App pada B10, sukar untuk menafikan bahawa aspek perisian ini merupakan salah satu tarikan besar kereta tersebut. Pada harga sekitar RM108,000 untuk varian permulaan, kita bukan sekadar mendapat sebuah SUV elektrik dengan bateri dan motor elektrik, tetapi turut mendapat satu ekosistem digital yang membolehkan telefon pintar digunakan sebagai pusat kawalan kereta.
Dalam era kereta semakin berubah menjadi sebuah komputer bergerak, ciri seperti inilah yang menunjukkan bagaimana pengalaman memiliki kereta sudah mula bergerak jauh daripada sekadar masuk, hidupkan enjin dan memandu. Untuk Leapmotor B10, sebahagian pengalaman itu sebenarnya bermula sebelum kita pun sampai ke kereta.





