Buletin

INI KIA KEDUA PALING POPULAR DI AMERIKA? MACAM TAK PERCAYA

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Agaknya ini lah peribahasa sesuai untuk model Kia yang jarang-jarang disebut oleh kebanyakan orang. Silap-silap tidak berapa dikenali oleh orang luar Amerika Syarikat dan Eropah.

Tahukah anda, model keluaran Kia yang manakah paling popular di AS setakat bulan Ogos ini?

Cuba teka.

Forte? Sportage? Rio? Picanto? Sorento?

Jika ada yang menjawab Forte, iya anda betul. Jika Forte berada di tempat pertama, model mana berada di kedudukan kedua popular?

Tiga model yang disenaraikan di atas salah sama sekali.

Mengekori rapat jualan Forte ialah Kia Soul. Iya, model bersegi macam kotak kasut ini berada di tempat kedua. Itu pun ketinggalan sedikit sahaja berbanding Forte.

Berdasarkan rekod jualan dari Januari 2017 hingga Ogos 2017 yang baru sahaja dikeluarkan Kia, Forte telah terjual sebanyak 81,461 unit manakala Soul pula sebanyak 80,228 unit.

Menariknya, jualan Soul agak selesa di hadapan model ketiga terlaris iaitu Optima sebanyak 74,722. Kenapakah model dengan reka bentuk yang kebiasaannya digunakan oleh pengeluar Jepun ini begitu popular di AS?

Entah. Hendak tanya kawan yang menetap di AS pun tiada kecuali di Alor Setar.

Itu bukan sahaja rekod yang dipegang oleh Soul. Model generasi pertama Soul mula dipasarkan di AS pada tahun 2009 dan produksi kumulatif temasuk generasi kedua telah pun mencecah angka sejuta unit pada tahun 2015.

Pembeli di AS memang menggemari model ini di mana dari tahun 2011 sehingga 2016, lebih 100,000 unit Soul telah terjual setiap tahun. Rekod jualan juga menunjukkan ia lebih popular dari Nissan Versa.

Bayangkan, model Korea Selatan boleh kalahkan produk buatan Jepun.

Sejarah Soul bermula dengan seorang pereka yang bernama Mike Torpey pada awal 2005. Beliau baru sahaja berkhidmat dengan Pusat Reka Bentuk Kia di Irvine, California dan telah dihantar ke Kia Korea untuk sumbang saran (brainstorm) bagi produk baharu majikannya itu.

Menariknya idea tersebut timbul selepas beliau menonton sebuah rancangan dokumentari berkenaan beruang liar dan kepentingan haiwan tersebut dalam budaya Korea.

Torpey kemudian melukis karikatur beruang yang memakai beg galas. Dan selepas itu adalah sejarah. Kekuatan dan kebolehan yang ada pada beruang digunakan sebagai inspirasi Soul dan ia disasarkan kepada golongan muda yang hip pada waktu itu.

Walaupun idea model tersebut timbul lebih dari sepuluh tahun lalu namun ia tidak dikeluarkan dengan segera. Kia mengambil masa yang agak lama termasuk beberapa siri pameran global untuk menayang model itu di hadapan khalayak ramai.

Pada tahun 2009, barulah model itu dijual secara rasmi dan tempoh yang lama tersebut walau bagaimanapun membuahkan hasil.

Soul menjadi popular di AS dan ia turut dibantu dengan kempen pemasaran menarik yang menggunakan hamster dan latar belakang lagu popular di mana konsep tersebut turut digunakan sehingga kini.

Model generasi pertama berkhidmat sehingga tahun 2014 dan ia digantikan dengan Soul generasi kedua pada tahun yang sama. Model baharu ini direka oleh Peter Schreyer dan tampil dengan prinsip sama iaitu reka bentuk unik untuk golongan muda.

Golongan muda itu bukan bermaksud reka bentuk sahaja hipster tetapi juga merangkumi mereka yang sukakan kepantasan. Pada November 2016, Kia memperkenalkan Soul Exclaim yang bernadikan enjin 1.6 Gamma TGDI.

Enjin turbo itu berkuasa 201 HP dan ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Selain nadi kuasa yang menarik, Soul Turbo turut dipasangkan rim besar bersaiz 18 inci.

Jadinya, jika anda mahukan sebuah kereta yang nampak cool pilihlah Soul. Jika takut dibahan sebab kereta ini tidak laju, pilihlah Soul Turbo.

Konsepnya sama seperti Perodua Myvi kan? Kereta yang orang muda nampak cool. Cuma, Soul ini lebih maju dan canggih berbanding Myvi.

Harga Kia Soul di AS bermula dari USD 16,100 (RM 68,759.59) hingga USD 22,650 untuk varian Exclaim Turbo (RM 96,731.93).

Memang tinggi jika ditukar nilai kepada duit kita tetapi untuk warga AS, USD 16,000 dah boleh dapat kereta untuk anak-anak pergi kolej.

Okay la tu kan.  Macam Perodua Myvi atau Axia atau Bezza.

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”16″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button