
Honda XRM125 ini merupakan sebuah motor yang agak pelik. Ianya sebuah underbone ataupun kapcai tetapi dikacukkan dengan ciri-ciri motor trail ataupun scrambler dan dipasarkan di Filipina sudah lebih dari sepuluh tahun. Dengan kata lain ianya merupakan sebuah cubcross tetapi keluaran kilang bukannya dihasilkan sendiri seperti di Malaysia. Tengok dari belakang memang underbone tetapi tengok dari depan seperti kepala itik ataupun angsa.
Kenapa ada motor macam ni? Jawapannya tentu sekali kehendak pasaran sememangnya berbagai-bagai. Walaupun kelihatan aneh ianya memang sesuai untuk kegunaan di ladang mahupun kawasan kampung yang tidak mempunyai jalan berturap.
Scrambler ataupun motosikal trail biasa bukanlah pilihan terbaik untuk golongan berpendapatan rendah kerana harganya yang mahal. Malah ia juga tidak sesuai dengan golongan berusia kerana agak tinggi. Menghasilkan cubcross dari underbone biasa adalah lebih murah dan lebih mesra warga emas.
Motor ini sebenarnya tidak disedari kewujudannya oleh negara jiran tetangga baik Malaysia ataupun Indonesia. Ia boleh dikatakan satu kategori baharu tetapi adakah ia akan popular jika dipasarkan di Malaysia? Kami sebenarnya merasa agak ragu-ragu kerana pasaran Malaysia ni agak kecil. Tengok nasib Suzuki Belang, berapa kerat sangat yang ada di atas jalan raya? Rata-rata peminat motosikal Malaysia lebih gemarkan rekaan underbone yang konvensional selain skuter-skuter moden.
XRM125 ini mulanya dijual sejak tahun 2002 tetapi dengan enjin 110cc. Sejak 2007 ia telah dinaik taraf kepada enjin 125cc selinder tunggal sejukan udara. Enjin ini mampu menghasilkan 6.9 kW kuasa pada 7500 rpm.
Malah sejak diperkenalkan motosikal ini telah terjual melebihi 1 juta unit di Filipina menjadikannya antara motor terlaris dan diberi gelaran Raja motosikal underbone. Sejak 2010 motor ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu versi motard, Dual Sport dan Dual Sport Extreme. Perbezaannya terletak pada kelengkapan rim dan juga kelengkapan brek cakera. Varian termahal dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang.
Bagaimana dengan harganya? Harganya sebenarnya tidaklah murah kerana bila ditukar kepada RM ia adalah sekitar RM15K seunit tetapi anda akan mendapat sebuah motosikal underbone dan juga trail dalam satu pakej.
Tetapi dinyatakan juga yang motor ini merupakan edisi terakhir dan tidak akan disambung lagi pengeluarannya dan bakal digantikan dengan Honda RS125. Kalau ada yang masih ingat dengan Honda Hurricane yang pernah popular suatu ketika dahulu, macam tulah bentuknya Honda RS125. Kami kurang yakin sebenarnya dengan pasaran motosikal bentuk macam ni di Malaysia tetapi ia cukup laris di pasaran Thailand dan Filipina.