
INI PELUANG BAIK UNTUK MEMILIKI KITT ORIGINAL DARI SIRI KNIGHT RIDER
Siapa yang tak kenal dengan KITT ni memang sahih kaki tengok drama Melayu dari muda sampai tua. Model Pontiac Trans Am popular yang boleh bercakap ini memang menjadi idaman ramai sejak dari tahun 80-an. Bagi yang meminati kereta ini, kini peluang terbuka kerana ia bakal dilelong. Lebih istimewa kerana ia merupakan props asal untuk siri TV ini.
KITT merupakan sebuah kereta pintar yang mampu bergerak sendiri dalam siri TV Knight Rider. Untuk siri itu sahaja hampir 20 kereta yang sama digunakan dan hanya 5 yang masih tinggal. Kereta yang dapat disaksikan di sini pula ialah KITT versi ‘Super Pursuit Mode’ yang kononnya mampu membuatkan kereta ini bergerak dengan kelajuan yang lebih tinggi.
Tiga daripada KIT versi Super Pursuit Mode telah dihasilkan. Satu digunakan untuk adegan kesan khas dan satu lagi digunakan untuk lagak ngeri. Keduanya bagaimanapun telah hilang tetapi model yang dimaksudkan masih tersimpan dengan baik di Volo Auto Museum, Illinois dan kini akan dilelong.
Ia diasaskan daripada Pontiac Firebird (antara muscle tercantik dari pandangan Pak Amid) keluaran tahun 1988. Ia disediakan sebagai kereta sokongan untuk siri TV tersebut dan mudah saja dikenali sebagai versi Super Pursuit Mode bagi peminat siri Knight Rider.
BACA: 10 BUAH KERETA YANG MEMULAKAN HAYAT MEREKA SEBAGAI KERETA LUMBA
Sama seperti dalam rancangan TV itu, ia juga dilengkapi dengan lampu merah ikonik di hadapan dan papan pemuka lengkap dengan stereng Knight Industrial Two Thousand (KITT). Sayangnya ia tidak boleh bercakap dan tidak mempunyai keupayaan AI seperti KITT. Tapi itu mudah sahaja dilakukan dengan teknologi sekarang. Setakat nak buat suara cakap Kedah tu apa la sangat.
Dua lagi model ini sudah tidak dapat dikesan menjadikan ianya unit tunggal dan akan menjadi sangat berharga bagi peminat dan pengumpul. Jay Leno pun ada sebuah tetapi ianya bukan versi Super Pursuit Mode.
Kalau berminat tunggu sahaja lelongannya pada 19 September ini oleh pihak muzium Volo. Harganya dijangkakan sekitar RM120-160k sahaja. Alah lebih kurang dengan Toyota Supra Paul Walker dalam Fast and Furious.
Kebelakangan ni banyak pula kereta props filem muncul kembali setelah lama menghilang antaranya ialah Ford Mustang GT Fastback yang dipandu oleh Steve McQueen dalam filem Bullit dan Aston Martin DB5 yang digunakan oleh Sean Connery dalam filem Goldfinger.