
KNIGHT RIDER BAKAL DAPAT SENTUHAN PENGARAH KELAHIRAN MALAYSIA, JAMES WAN
Siapa yang tidak teruja menonton kereta Pontiac Firebird boleh bercakap malah dapat bergerak sendiri dengan aksi-aksi menarik membantu peneraju utama dalam siri berkenaan, Michael Knight (David Hasselhoff).
Drama rantaian Knight Rider cukup popular pada tahun 1982 sehingga 1986.
Drama tersebut dijangka akan mendapat sentuhan baharu dan diangkat menjadi sebuah filem di layar lebar.
Spyglss Media akan bekerjasama dengan Atomic Monster membikin filem berkenaan.
Filem tersebut bakal diarahkan pengarah kelahiran Malaysia, James Wan. Beliau terkenal dengan penghasilan karya-karya seperti Aquaman, The Conjuring: The Devil Made Me Do It, Saw, Insidious dan filem ketujuh dari francais Fast and Furious.

Dalam pada itu, Judson Scott akan bertindak sebagai Eksekutif Producer. TJ Fixman pula memainkan peranan selaku penulis skrip dalam filem terbaharu ini. Dia mempunyai pengalaman dan cukup terkenal menulis skrip permainan video.
Karya asal Knight Rider berkisar kepada peneraju utama iaitu Michael Knight merupakan seorang agen misteri untuk Foundation for Law and Government (FLAG) serta memandu sebuah Knight Industries Two Thousand (KITT) – sebuah Pontiac Firebird Trans Am dengan teknologi masa hadapan.

Bagaimanapun, masih belum ada informasi terkini berhubung jalan cerita terbaharu ini. Memandangkan dunia automotif semakin maju hari ini.
Kemungkinan besar, KITT akan dinaik taraf menjadi lebih lasak, dilengkapi teknologi canggih dan berdaya saing. Siapa tahu KITT kali ini akan menggunakan kenderaan elektrik pula. – agensi.