
INI RADFORD TYPE 62-2 KHAS PERTAMA YANG DISERAH KEPADA PELANGGAN
Harold Radford asalnya adalah pembuat badan kereta klasik dan jenama Radford dihidupkan semula oleh Jenson Button, Ans Anstead dan Roger Behle.
Produk pertama Radford Motors ialah Type 62-2 yang berkongsi perkakasan dengan Lotus Exige.
Kereta sport itu digerakkan enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 dengan pengecas lampau yang juga digunakan pada kenderaan Lotus. Ada tiga peringkat kuasa yang ditawarkan iaitu 430bhp, 500bhp dan 605bhp.

Diperkenalkan pada Ogos 2021, unit pertama Type 62-2 yang dibuat khas untuk pelanggan (personal commission) diserahkan kepada pemiliknya pada minggu ini di California, Amerika Syarikat.
Unit tersebut dibuat untuk Shashi Reddy dan mengikut spesifikasi pilihannya sendiri.
Bahagian luar warna biru dipilih sebagai penghormatan kepada kereta lumba Jaguar D-Type XKD 606 yang memenangi perlumbaan Le Mans 24 Jam 1957.

Bahagian bawah warna perak pula seragam dengan rim dan cermin sisi warna krom satin dan muncung ekzos. Padanan warna tersebut berlawan dengan angkup brek hitam AP Racing.
Dalaman kereta tampil dengan tema klasik melalui warna coklat dan bagi mewujudkan suasana yang lapang. Stereng kereta ala kereta klasik memang cantik!
Shashi Reddy memesan suis dan perkakasan lain dalam warna krom satin.

Balutan kulit nubuck diguna pada bahagian atas manakala kulit separa anilina perak mutiara membalut bahagian bawah seperti konsol gear.
Setiap unit Type 62-2 tidak sama dan dibuat mengikut permintaan pelanggan. Hanya 62 unit Type 62-2 sahaja ditawarkan kepada pelanggan di serata dunia.
Berapa harga unit ini? Radford Motors tidak berkongsi dan sebuah Type 62-2 430bhp ditawarkan daripada 350,000 pound (RM2,066,628).











