Buletin

INI VAN KARGO ELEKTRIK DARI VW – GANTI VW KOMBI?

Sejak kebelakangan ini kami telah terbitkan beberapa artikel tentang van. Kenderaan jenis ini sebenarnya sentiasa popular sejak puluhan tahun dulu lagi.

Bermula dengan era Volkswagen Type2/Combi/Transporter kemudian ke zaman Toyota Liteace, Nissan Vannette, Ford Econovan seterusnya ke era Toyota Estima dan kini kemasyhuran Alphard dan Vellfire pula.

Van tidak pernah luput daripada ditawarkan oleh pengeluar massa termasuk daripada jenama Eropah.

Fungsi van terbahagi kepada dua, sama ada untuk membawa penumpang atau sebagai kenderaan komersil bagi mengangkut barang perniagaan.

Di negara kita, van jenama Eropah agak kurang digunakan sebagai kenderaan komersil berbanding jenama Jepun.

Ini berbeza sekali dengan Eropah di mana Mercedes-Benz yang merupakan jenama mewah turut mempunyai barisan kenderaan komersil.

VW Kombi dengan pengganti, VW I.D. BUZZ

Begitu juga dengan VW, jika di negara kita jenama ini popular dengan Golf GTI, Jetta dan Tiguan, model komersil seperti Transporter turut digemari ramai.

Satu yang menarik tentang VW ialah warisan van yang dibawa sejak tahun 1950 lagi. Melalui zaman populariti pada era 60an, VW Kombi bakal dikembalikan semula dalam masa beberapa tahun akan datang.

Ini suatu yang menggembirakan selepas VW mengambil keputusan untuk menghentikan produksi Beetle.

Van baharu itu dikenali dengan nama I.D. BUZZ dan menariknya bakal dikuasakan oleh tenaga elektrik.

BACA: VAN VW KEPALA SAMA, BADAN BOLEH JADI MACAM-MACAM

Satu lagi perkara menarik ialah pada Pameran Kenderaan Komersil IAA di Hannover, Jerman yang sedang berlangsung dari 20 hingga 27 September VW turut mempamerkan versi komersil I.D BUZZ iaitu I.D. BUZZ Cargo.

Model van kargo ini berkemungkinan akan dilancar ke pasaran seawal tahun 2021. Selain itu model konsep yang dipamerkan dikatakan direka sehampir mungkin dengan versi produksi.

Model ini dibangunkan secara bersama di antara Volkswagen Commercial Vehicles dan Volkswagen Passenger Cars. Model I.D. BUZZ dibangunkan oleh Volkswagen Passenger Cars manakala versi kargo oleh Volkswagen Commercial Vehicles.

Satu ciri menarik tentang projek ini ialah saiz baterinya boleh diubah mengikut kegunaan dan bajet pelanggan. Jarak perjalanan pula mempunyai jarak di antara 330 km hingga lebih 500 km.

Kuasa pengecasan pula direka sebaiknya sebab ini adalah van kerja dan segalanya perlu cekap. Dengan menggunakan sistem pengecas pantas 150 kW, bateri berkapasiti 48-kWh ini boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa 15 minit sahaja.

Kuasa pengecasan 111 kW pula memerlukan 30 minit dan van ini turut boleh dicas menggunakan soket dan kuasa elektrik domestik.

Satu lagi ciri menarik ialah bumbung solar mampu menambah jarak van ini sehingga 15 km lagi.

Bijak bukan VW? Menggabungkan van ikonik dengan teknologi moden. Silap-silap nak buat angkut barang pun sayang!

Google ads
Back to top button