Artikel Pilihan

INILAH 4 GADIS PALING LAJU DALAM SUKAN MOTOR DUNIA

Dalam perkembangan dunia sukan motor yang semakin laju, satu perkara yang sedikit sebanyak mendapat perhatian peminat ialah pertambahan jumlah pelumba wanita yang turut bersaing dengan pelumba-pelumba lelaki dalam kategori yang berbeza-beza.

Pemandu-pemandu seperti Michele Mouton, Danica Patrick dan Susie Wolff telah merintis jalan yang membawa wanita-wanita ke kawasan paddock sebagai pelumba sekali gus memecahkan monopoli sukan yang selama ini dikuasai oleh golongan adam. Ini ada beberapa lagi pelumba wanita yang masih muda remaja yang mungkin belum cukup terkenal tetapi tidak mustahil satu hari nanti akan menggegar dunia. Semuanya cantik-cantik pulak tu, hati nakal Pok Ya berbicara sendiri.

Juju Noda – Perlumbaan Single-seater

Maaf jangan fikir bukan-bukan bila mendengar nama gadis kecil baru berusia 12 tahun ini. Bukan hanya antara pelumba wanita termuda, beliau juga dikatakan seorang pelumba yang sangat berbakat berdasarkan catatan kemenangan beliau pada usia yang masih mentah.

Sebagai anak perempuan kepada bekas pelumba F1 dan Super GT, Hideki Noda, DNA perlumbaan memang sudah ada dalam diri gadis kecil ini sejak dari awal. Mempunyai seorang bapa yang mempunyai akademi memandu sendiri merupakan satu bonus buat Juju berbanding gadis lain sebaya beliau yang sibuk melayan mesej-mesej dari aplikasi sosial 25 jam sehari.

Juju dikatakan mempunyai kebolehan untuk merasai batasan sesebuah kereta yang dipandu beliau selain batasan pada tayar itu sendiri. Ia cukup penting dan bukan semua pemandu mempunyai naluri seperti itu. Jelas bapanya, bila Juju merasakan yang beliau sudah menghampiri batasan, beliau akan berundur sedikit tetapi kekal fokus, kekal rilek dan masih lagi kekal laju. Mungkinkah beliau akan muncul sebagai pelumba F1 wanita pertama Jepun satu hari nanti?

Catie Munnings – Rali

Pemandu British Rally Catie Munnings turut mempunyai zaman kanak-kanak yang berbeza kerana beliau juga merupakan anak perempuan kepada bekas pemandu rali, Chris Munnings. Catie membesar dengan memandu kereta-kereta lama di sekitar ladang tempat tinggal beliau sebelum menyertai ujian dengan pasukan Peugeot pada usia 17 tahun.

Catie menyertai program pencarian pemandu baru untuk dilatih dan digandingkan dengan jurutera sebelum menyertai perlumbaan European Rally Championship (ERC). Pada musim pertama beliau (2016), Catie berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan Ladies European Rally Championship menggunakan kereta Peugeot 208 R2.

Tahun lepas Catie turut cemerlang kerana berjaya menduduki tangga keempat dalam saingan ERC3. Kini pada usia 21 tahun Catie berharap untuk menyertai WRC Rally pada tahun ini.

Tatiana Calderon – Perlumbaan Single-seater

Nama Tatiana Calderon mungkin biasa didengari oleh peminat sukan motor kerana beliau merupakan pemandu penguji pasukan Alfa Romeo Racing F1. Berasal dari Bogota, Columbia, karier wanita berusia 26 tahun ini bermula seawal usia 9 tahun dengan perlumbaan go-kart.

Beliau kemudian melibatkan diri dalam perlumbaan kereta sport sebelum kembali ke perlumbaan tempat duduk tunggal FIA Formula 3 selama 3 musim di bawah bimbingan Susie Wolff. Beliau kemudian berpindah ke siri GP3 dan seterusnya menggapai impian sebaik dilamar oleh Sauber untuk menyertai program pembangunan pemandu mereka.

Menurut Tatiana, beliau bangunpada setiap pagi dengan impian untuk menjadi pelumba F1 bukan sebab duit ataupun kemewahan tetapi ingin untuk memandu jentera F1 selaju mungkin dan membuktikan kehebatan beliau kepada dunia.

Tamara Molinaro – Rali

Dilahirkan di kawasan kedesaan Itali yang cantik dan sunyi mungkin merupakan impian setiap manusia tetapi bukannya Tamara Molinaro. Beliau merasakan satu kehilangan di sana dan ianya rupanya ialah bunyi deruman enjin kereta. mula berlumba seawal usia 11 tahun seterusnya meningkat naik dalam perlumbaan kategori junior ERC.

32 MOLINARO Tamara (ITA) BERNARCCHINI GIOVANNI (ITA) Opel Adam R2 action during the 2017 European Rally Championship ERC Rally di Roma Capitale, from september 15 to 17 , at Fiuggi, Italia – Photo Jorge Cunha / DPPI

Sama seperti Catie, Tamara juga merupakan pemenang Ladies Trophy ERC 2017 selepas memenangi 4 daripada 8 perlumbaan pada musim tersebut. Pelumba Itali ini turut berpeluang menyertai perlumbaan WRC dengan penyertaan pertama pada Rali Sweden 2018 untuk kategori WRC2. Kini beliau masih lagi berlumba dalam WRC2 dan berada pada kedudukan ke-11.

Kredit Redbull.com

BACA: RALI DAKAR AKAN DIADAKAN DI ARAB SAUDI MULAI 2020

Google ads
Back to top button