Artikel Pilihan

ALKISAH JUWITA MOTORSPORT CLUB (JMSC) DAN AKTIVITI MEREKA

Apabila menyebut tentang Pemandu Wanita, orang kita pasti mempunyai skeptikal terhadap mereka. Lembab. Terhegeh. Duduk Lorong Tengah. Tapi tahukah bahawa di negara kita sebenarnya wujud juga Pemandu Wanita yang aktif berlumba, sama ada di litar lumba ataupun di trek rali Ladang Kelapa Sawit. Ingat lagi Makcik Gina Finanza? Laju. Tangkas. Berhemah.

Dan tahukah di negara kita sebenarnya telah wujud sebuah Kelab Permotoran khusus untuk golongan Wanita, Juwita Motorsport Club (JMSC) dan ianya adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Bulan Jun yang lalu mereka telah menganjurkan Seminar Sukan Bermotor khas untuk wanita. Dan baru – baru ini JMSC sekali lagi mara setapak lagi dengan menganjurkan Kursus Pemanduan Defensif khas untuk wanita juga.

Kursus yang diilham daripada Penasihat JMSC sendiri, Gina Finanza Daud yang juga turut bertindak selaku Ketua Jurulatih untuk program tersebut. Program yang diadakan pada 28 September 2019 yang lalu di Dataran Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi telah berjaya menarik minat seramai 13 orang peserta meliputi penuntut daripada Institusi Pendidikan Tempatan, wanita yang berkerjaya serta surirumah sepenuh masa. Menariknya tentang kursus ini, selain daripada para peserta yang terdiri daripada kesemua wanita, Jurulatih juga terdiri daripada wanita. Separuh wanita atau pun acah – acah wanita langsung tak ada.

Sebenarnya ia adalah salah satu inisiatif daripada JMSC dalam melaksanakan salah satu visi dan misi kelab iaitu memberi suntikan kesedaran keselamatan jalanraya untuk kaum wanita sama ada melalui seminar anjuran kelab mahupun badan-badan lain yang berkaitan. Sudah tentu tujuannya adalah untuk melihat kaum wanita menjadi pemandu yang lebih cekap sekaligus mengikis stigma masyarakat tentang ‘lady driver’.

Kursus yang berlangsung selama satu hari ini merangkumi sesi teori dan praktikal. 4 orang ahli JMSC terpilih telah menjalani beberapa siri kursus pemanduan intensif dan penilaian sebelum diberi kepercayaan untuk mengendalikan sesi praktikal. Menariknya, salah seorang dari jurulatih terpilih itu adalah guru automotif yang bertauliah. Peserta diajar tentang penyelenggaraan asas dan mengendali kenderaan dengan cara pemanduan yang lebih selamat. Rata-rata peserta amat teruja ketika menjalani aktiviti praktikal terutamanya sesi mempelajari cara mengawal kenderaan ketika terbabas (skid control).

Ilham HIjau Sdn. Bhd. selaku syarikat perunding keselamatan pekerjaan turut terpanggil untuk menjadi penaja dan penganjur bersama kursus ini kerana ingin mendidik dan melahirkan lebih ramai pengguna jalanraya yang berhemah dan bertimbang rasa. Ianya sudah tentu dapat menyumbang pada pengurangan kadar kemalangan jalanraya. Kursus ini juga mendapat sokongan dari pihak Malaysian Road & Transportation Safety Association (MRTSA).

Buat pembaca wanita, aktiviti-aktiviti  JMSC boleh diikuti melalui Facebook atau IG Juwita Motorsport Club. Silalah tekan butang Like & Follow. Brader Karrager pun dah lama Like Makcik Gina Finanza ni. Eh!

BACA :GINA FINANZA DAUD YANG PATUT KITA KENALI

BACA : PEMANDU WANITA DITAMPAR GARA-GARA TAK NYALAKAN LAMPU ISYARAT

Tags
Google ads
Back to top button