Artikel Pilihan

KERETA TERPAKAI MILIK WANITA LEBIH BAIK DAN BAGUS?

Anda sedang meneliti iklan kereta terpakai di laman sesawang popular bagi mencari kereta idaman anda yang dijual pada harga paling murah. Tiba-tiba anda terlihat ayat ini “pemilik asal kereta ialah wanita”. Hmm apa kaitan kereta terpakai dengan perempuan?

Penulis agak sangsi dengan kenyataan bahawa jika sesebuah kereta yang dimiliki oleh wanita, harga jualannya akan lebih mahal. Ini kerana mereka sendiri gagal mencari tempat makan malam atau menu untuk makan malam, apatah lagi menjaga sebuah kereta.

Mungkin satu ketika dulu ayat ini digunakan bagi menarik perhatian pembeli dengan membayangkan pemilik asal kereta yang dimiliki oleh perempuan ini dipandu dengan berhemah, dijaga dengan baik dan selalu diselenggara dengan mengikut sela masa menjadikan kereta ini berbaloi untuk dibeli.

Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa jika sesebuah kereta pernah dimiliki oleh wanita besar kemungkinan keadaan kereta adalah lebih bagus daripada kereta yang dimiliki oleh lelaki. Namun data kajian yang dibuat pada tahun 2015 (sudah lama tapi masih releven) dengan 3500 responden di Kanada membuktikan sebaliknya

Canadian Automotive After Market Monitor (CAAM) dalam kajian tahunan 2015 mendapati “97% lelaki yang memiliki kereta akan memeriksa kenderaan mereka dengan kerap, berbanding 59% sahaja wanita yang memiliki kereta”.

Pemeriksaan ini meliputi keadaan minyak pelincir enjin, tekanan angin tayar, keadaan brek, pemeriksaan penapis udara enjin dan pelbagai perkara asas yang tidak melibatkan perkakasan yang istimewa. Ini membuktikan bahawa kadang kala lelaki lebih mengambil berat berkenaan penjagaan kereta berbanding wanita

Kajian ini juga secara tidak langsung membuktikan kereta yang dimiliki oleh lelaki adalah dijaga dengan lebih baik berbanding dengan wanita. Melainkan wanita itu sudah berkahwin dan keretanya akan diperiksa dan diselenggara oleh suami mereka

Tapi sehingga hari ini ayat “pemilik wanita” masih lagi kerap digunakan sebagai mentera pelaris untuk menjual kereta terpakai. Tapi bagi penulis isu jantina tidak memainkan peranan yang besar dalam pemilihan sesebuah kereta terpakai.

Selain daripada berada dalam keadaan yang bagus, salah satu bukti atau rekod yang akan diteliti oleh penulis ialah rekod servis berkala yang dilakukan oleh pemilik terutama bagi kenderaan baru. Kenderaan baru yang dibeli perlu diservis dan rekod servis ini akan dibuktikan melalui resit yang dikeluarkan oleh pusat servis

Sebagai contoh anda ingin membeli sebuah kereta terpakai dengan jarak perbatuan 73,000km, maka cuba minta rekod servis kenderaan tersebut sebanyak 7 kali atau 9 kali. Rekod ini boleh dilihat melalui cop rasmi pada buku servis dan juga resit rasmi oleh pusat servis.

Sekiranya pemilik asal lewat melakukan servis, ia akan tercatat pada buku rekod yang boleh dilihat dengan jelas tanpa mengira pemilik asal kereta adalah wanita ataupun lelaki. Jadi anda boleh melihat sejarah servis kereta tersebut, adakah pemilik asal pernah membuat tuntutan jaminan dan pelbagai butiran dengan hanya melihat pada rekod

Tapi dalam satu kajian yang lain, data menunjukkan pemandu wanita adalah jauh lebih cermat dan berhati-hati ketika memandu berbanding dengan pemandu lelaki. Jadi jika anda terjumpa dengan kereta yang dijual oleh pemilik wanita dan ada rekod servis lengkap, mungkin anda sangat bertuah.

Google ads
Back to top button