Buletin

INILAH LANCIA STRATOS, KERETA RALI LEGENDA 70 AN + MARKKU ALÉN

Sebelum era zaman kereta penumpang seperti Mitsubishi Lancer dan Subaru Impreza menjadi legenda rali, terdapat sekumpulan kereta comel loté yang bersaing hebat dalam kejohanan rali. Kereta-kereta kompak seperti Ford Fiesta, VW Polo, Skoda Fabia, Hyundai i20 yang digunakan dalam rali masa kini adalah ibarat imbasan semula rali zaman dulu-dulu.

Selain kereta kompak, terdapat juga kereta dua pintu dengan bentuk badan sporti seperti Toyota Celica, Porsche dan Audi. Namun sebelum era tersebut terdapat sebuah model yang sangat ikonik iaitu Lancia Stratos.

Kereta berbisa turut diiringi oleh pemandu hebat yang memandu ibarat tiada hari esok. Di antara tokoh legenda ialah Markku Alén. Pemandu yang memperkenalkan ayat “Now, Maximum Attack”.

Alén ialah legenda rali yang berasal dari mana lagi kalau bukan Finland dan merupakan juara 19 kali perlumbaan WRC. Beliau adalah salah seorang dari pelumba bertuah yang dapat memandu Lancia Stratos pada zaman kegemilangannya.

Namun, peluang tidak datang dengan mudah untuk memandu kereta yang direka oleh Bertone bernadikan enjin V6 Ferrari Dino itu…

Mengimbas kembali pada era 70 an, Lancia Stratos ibarat jentera magis dan menariknya kereta itu memang dibina khusus untuk perlumbaan rali. Ini boleh dilihat melalui tiga kemenangan kategori pengeluar tiga tahun berturut-turut dari 1974 hingga 1976.

Fiat yang merupakan pemilik Lancia pada masa itu tidak berapa cenderung untuk memilih ‘pemandu bintang’ mereka mengemudi jentera yang hanya dibina tidak sampai 500 unit.

Walaupun Alén ialah pemandu rasmi Fiat bermula dari 1975 lagi, beliau hanya memperoleh peluang untuk memandu Stratos lewat musim 1978. Itu pun dalam kedudukan yang selamat apabila beliau sebenarnya sudah merangkul Piala FIA untuk Pemandu menggunakan kereta massa dan lebih senang dijual iaitu Fiat 131 Abarth.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, peluang yang diberikan diguna sebaik mungkin. Alén mempesonakan ramai orang apabila beliau memenangi Rali San Remo dengan mengalahkan hero Itali lain di tanah kelahiran mereka.

Dan berikut pula ialah apa yang dikatakan oleh Alén:

“Ia adalah sebuah kereta yang menakjubkan untuk saya, ia ibarat kanak-kanak yang melangkah ke Formula Satu. Saya selalu bertanya bilakah saya dapat memandu kereta ini dan setiap kali dijawab, ‘131 ialah untuk kamu’. Akhirnya bila mana saya berjaya memandunya, perasaan pada waktu itu ialah betapa senangnya untuk memandu kereta ini terutama sekali di atas permukaan jalan tar, ibarat malam dan siang. Satu-satunya masalah yang dihadapi ialah ketinggian saya dan selalu terhantuk dengan bumbung dan bila cuaca hujan atau berkabus, penglihatan agak terjejas.”

Memandangkan Alén hanya berpeluang memandu di penghujung kitaran Stratos, pembangunan kereta itu dihentikan dan dan digantikan oleh Lancia 037 yang diinspirasikan dari jentera Group B. Kereta baharu itu menjadi dan Alén turut menjadi juara dalam WRC.

Dan sudah hampir ke tempoh 40 tahun, Alén bakal kembali ke Britain dan lebih istimewa tampil dengan Lancia Stratos legenda.

Beliau sebenarnya bakal menyertai IGNITION – Festival of Motoring yang bakal berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos depan di Glasgow. Lebih mengujakan apabila bukan Alén dan Lancia Stratos sahaja malah empat lagi ikon pelumba rali.

Acara itu bakal menghimpunkan Miki Biasion, Stig Blomqvist, Timo Salonen dan Ari Vatanen dan mereka akan turut kembali dengan jentera hebat. Alén akan memandu Stratos, Biasion dengan Lancia integrale manakala Vatanen pula Escort RS1800RS. Cuma kereta Blomqvist dan Salonen belum disahkan lagi.

Dan apabila pemandu hebat ini berkumpul, apa lagi aktiviti mereka? Berlumba. Mereka akan berlumba dalam format Street Stage Shoot Out di litar gymkhana khas.

IGNITION 2017 turut menampilkan pelbagai slot istimewa seperti tribut ulangtahun ke 70 Ferrari, zon stunt motosikal, pertunjukan kereta eksotik dan pelbagai lagi acara berkaitan automotif dan famili.

Google ads
Back to top button