
OMODA | JAECOO CECAH 1 JUTA UNIT GLOBAL DALAM TIGA TAHUN
Selepas tiga tahun membuat kemunculan di peringkat antarabangsa, OMODA | JAECOO mencatat pencapaian penting apabila jualan globalnya melepasi satu juta unit.
Pencapaian itu diumumkan sempena Beijing Auto Show 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama automotif yang berkembang paling pantas di pasaran global.
Momentum tersebut diperkukuh menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Rakan Niaga Global Chery Group yang menghimpunkan lebih 3,000 rakan strategik, pengedar dan wakil rantaian bekalan dari seluruh dunia.
Platform itu menjadi medan memperkenalkan strategi global baharu, pelancaran produk serta demonstrasi teknologi yang menandakan hala tuju jenama menuju fasa pertumbuhan seterusnya.
Dalam tempoh singkat, OMODA | JAECOO sudah menembusi lebih 64 pasaran antarabangsa. Perkembangan pesat ini bukan sahaja didorong oleh angka jualan, malah disokong komuniti pengguna global yang semakin berkembang serta penerimaan terhadap gabungan reka bentuk moden, prestasi dan teknologi mobiliti generasi baharu.

Teknologi Super Hybrid Jadi Teras
Di sebalik pertumbuhan pantas itu, OMODA | JAECOO memanfaatkan kekuatan penyelidikan dan pembangunan Chery Group. Antara teknologi utama ialah Super Hybrid System (SHS), iaitu sistem generasi baharu untuk model hibrid plug-in (PHEV) dan hibrid penuh (HEV).
Sistem ini direka bagi menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan bahan api dan jarak pemanduan lebih panjang.
Ia juga dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelbagai pasaran global termasuk Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Latin, selain sudah digunakan pada beberapa model pengeluaran.
Ujian Dunia Sebenar 9 Negara
Menjelang Beijing Auto Show 2026, OMODA | JAECOO turut menganjurkan “9 Countries Super Hybrid Marathon” pada 25 hingga 26 April 2026.
Program itu melibatkan wakil media dari sembilan pasaran utama yang memandu model J5 HEV, OMODA 5 HEV dan JAECOO J7 HEV.
Laluan sepanjang kira-kira 625 kilometer merangkumi lebuh raya, jalan gunung berliku dan kawasan tasik.
Ujian tersebut menilai prestasi, keselesaan kabin dan kualiti pemanduan dalam keadaan sebenar, selain mengetengahkan konsep “One Car, Two Vibes” yang menggabungkan kecekapan dan prestasi dinamik.
Pertumbuhan Kukuh di Pasaran Global
Sejak dilancarkan, OMODA | JAECOO sudah menembusi 16 pasaran Eropah dengan lebih 220,000 unit terjual dalam tempoh dua tahun.
Di United Kingdom, jenama itu mencatat pegangan pasaran melebihi dua peratus dalam tempoh sembilan bulan dan berjaya memasuki kelompok sepuluh teratas dalam masa 17 bulan.
Di Malaysia, OMODA | JAECOO turut menunjukkan perkembangan positif dengan lebih 17,800 unit terjual pada 2025, meningkat 153 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah kenderaan jenama itu di jalan raya tempatan sejak diperkenalkan pada 2024 kini melepasi 25,000 unit.

Rangkaian Rakan Niaga Semakin Kukuh
Pertumbuhan global jenama itu turut didorong oleh kerjasama rapat dengan rakan niaga tempatan. Melalui rangkaian bekalan dan servis yang terintegrasi, OMODA | JAECOO mampu mempercepatkan pengembangan pasaran antarabangsa serta meningkatkan keyakinan pelanggan.
Di Sepanyol, kajian pasaran VCON 2025 meletakkan OMODA | JAECOO sebagai jenama paling dikenali dalam kalangan pengedar dengan skor kepuasan 9.9 daripada 10.
Model perniagaan yang mampan serta rangkaian selepas jualan yang luas turut menyumbang kepada pencapaian itu.
Beralih ke Syarikat Teknologi
OMODA | JAECOO kini turut mengembangkan fokus ke arah teknologi pintar termasuk pemanduan autonomi, kokpit pintar dan rangkaian kuasa tenaga baharu. Robot humanoid Mornine, dibangunkan bersama pasukan AiMOGA, sudah digunakan di lebih 30 negara termasuk Malaysia bagi membantu interaksi pelanggan di pusat pameran dan pengedar.
Teknologi Parkir Automatik VPD
Pada Beijing Auto Show 2026, OMODA | JAECOO turut memperkenalkan teknologi Valet Parking Driver (VPD) yang membolehkan kenderaan mencari ruang parkir, meletak kenderaan dan kembali kepada pemandu secara automatik tanpa campur tangan manusia.
Teknologi itu akan dipamerkan pada tiga model hibrid SHS dalam situasi sebenar termasuk fungsi panggilan jauh, parkir automatik dan perbandingan dengan pemandu berpengalaman dalam keadaan kompleks.
Dengan pencapaian satu juta unit global dalam tempoh tiga tahun, OMODA | JAECOO kini memasuki fasa pertumbuhan baharu, dengan tumpuan terhadap teknologi canggih, peluasan pasaran dan pembangunan mobiliti masa depan yang lebih pintar serta berdaya lestari.
- BACA: iCAUR DEDAH KERETA KONSEP ROBOX DAN iCAUR V27 RHD DI BEIJING AUTO SHOW 2026
- BACA: PORSCHE LEPAS SAHAM BUGATTI RIMAC!
- BACA: CHERY TAMPIL UJIAN KESELAMATAN DUNIA SEBENAR, TIGGO 9 LULUS UJIAN PELANGGARAN TIGA KENDERAAN
- BACA: LEPAS DEBUT DI AUTO CHINA 2026 – MODEL LEPAS L6 DAN L4 EV JADI TARUHAN PERTAMA






