Buletin

LEPAS DEBUT DI AUTO CHINA 2026 – MODEL LEPAS L6 DAN L4 EV JADI TARUHAN PERTAMA

Jenama mobiliti tenaga baharu di bawah Chery Group, LEPAS, membuat kemunculan global sulungnya di pentas Auto China 2026 dengan memperkenalkan strategi NEV (New Energy Vehicle) baharu bersama dua model elektrik pertama, LEPAS L6 EV dan LEPAS L4 EV.

Pelancaran ini membawa tema “Elegance Moves the World”, sekali gus menandakan langkah awal jenama tersebut untuk menembusi pasaran global dengan fokus kepada mobiliti elektrik yang lebih premium dan berorientasikan gaya hidup.

Pasaran NEV global kini memasuki fasa baharu, dengan fokus bukan lagi semata-mata kepada teknologi dan skala, tetapi kepada pengalaman pengguna serta nilai jenama.

Seiring perubahan ini, LEPAS memperkenalkan identiti berteraskan “elegance”, menggabungkan reka bentuk sofistikated, teknologi pintar serta ruang kabin yang lebih eksklusif.

Strategi NEV LEPAS dibangunkan menggunakan sistem R&D global Chery serta platform tenaga baharu pintar LEX.

Ia merangkumi pelbagai segmen daripada kenderaan kompak hingga model bersaiz sederhana besar.

Tiga teras utama diperkenalkan iaitu Leopard Aesthetics, Elegant Technology dan Exquisite Space, yang merangkumi bahasa reka bentuk tersendiri, sistem bateri-motor-elektronik, kokpit pintar serta fungsi bantuan pemandu lanjutan (ADAS).

LEPAS L6 EV – SUV elektrik bandar untuk kegunaan harian

LEPAS L6 EV diposisikan sebagai SUV elektrik berteknologi tinggi untuk keluarga moden dan pengguna bandar.

Model ini menampilkan gaya Leopard Aesthetics dengan posisi badan lebar dan rendah, digabungkan lampu hadapan “Hunting Eye” bagi memberikan imej sporty dan premium.

Dari sudut teknologi, ia dilengkapi sistem seperti VPD, H-NOA, Bosch IPB 2.0 serta Super AI Agent yang memudahkan pemanduan, parkir dan interaksi dalam kabin.

Ruang dalaman pula direka fleksibel melalui sistem senario kabin, membolehkan ia disesuaikan mengikut keperluan harian pengguna.

LEPAS L4 EV – Mobiliti ringan dengan prestasi menyeluruh

Sebagai model lebih kompak, LEPAS L4 EV dibangunkan untuk mobiliti bandar yang lebih lincah. Reka bentuk “Hunting Motion” dengan warna badan kontras dan rim khas memberikan identiti visual yang mudah dikenali.

Model ini digerakkan motor elektrik 160kW serta suspensi belakang multi-link bebas. Ia turut menerima talaan casis global, sehingga 21 fungsi ADAS dan teknologi kenderaan terhubung.

Jarak pemanduan sekitar 500km bersama sokongan pengecasan pantas menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan hujung minggu.

Perancangan untuk pasaran Malaysia

Bagi pasaran tempatan, LEPAS Malaysia menyasarkan pembukaan 20 cawangan jualan dan servis di lokasi strategik seluruh Semenanjung serta Malaysia Timur.

Rangkaian ini akan diperluaskan kepada 30 cawangan menjelang akhir 2026 sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan jenama di negara ini.

Menerusi pengumuman sebelum ini, barisan model yang dirancang untuk diperkenalkan di Malaysia merangkumi SUV L4, L6 dan L8.

Ketiga-tiga model ini dibangunkan menggunakan platform global kenderaan tenaga baharu (NEV) terkini milik Chery, dengan fokus kepada gabungan reka bentuk elegan, teknologi pintar dan pengalaman pemanduan premium bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Google ads
Back to top button