Buletin

BANGKOK INTERNATIONAL AUTO SALON 2017 – BAGUS KAH? HMMM…

Saya sekarang berada di Thailand untuk membuat liputan Bangkok International Auto Salon 2017 yang berlangsung di Pusat Pameran Impact Arena, pinggir bandaraya Bangkok. Pameran yang diasaskan dari Jepun ini dikatakan sebagai yang terbesar di ASEAN bagi sekotor automotif yang mengkhusus kepada peralatan aftermarket di rantau ini.

Ia adalah pameran yang dianjurkan untuk tahun ke 3 dan semenjak musim pengenalannya dilangsungkan, ini kali pertama saya berpeluang menjejakkan kaki kesini. Melihat kepada susun atur pameran dan promosi ia jelas usaha yang komited dari pihak penganjur dalam menyusun masyarakat dan pasaran modifikasi dan aftermarket supaya diiktiraf dalam industri.

BACA: HONDA FREED MODULO DI TOKYO AUTO SALON

Pameran ini diasaskan oleh francais Auto Salon dari Jepun. Di Jepun, Tokyo Auto Salon dikenali sebagai pameran aftermarket paling berprestij di dunia. Ia berkembang dari Tokyo ke Osaka dan Sapproro (Kini Sapporo dikeluarkan dalam jadual). Ia juga pameran yang saya hadiri hampir setiap tahun sejak 15 tahun lepas dan perkembangan automotif di Jepun sangat dinamik dan unik.

Pameran seperti ini menggambarkan perkembangan industri hiliran bagi sesebuah negara. Lihat bagaimana ratusan jenama berkembang di Jepun menyokong industri asas automotif. Ketika perkembangan automotif Jepun pesat pada era 80-an, industri hilirannya juga mendapat faedah. Hari ini, jenama seperti Apexi, HKS, Spoon, SARD berkembang ke seluruh dunia.

Thailand dilihat cuba menjadi Detroit Asia menerusi kejayaan polisi automotif mereka yang jelas. Hampir sama dengan apa yang dilalui industri Jepun empat dekad yang lalu, industri modifikasi dan aftermarket Thailand juga mendapat tempias ekonomi. Terkenal sebagai negara nombor satu dalam sektor trak pikap, kejayaan pengeluar aksesori yang berkaitan trak akan berhubungrapat dengan apa yang dihasilkan di negara tersebut.

Bangkok Auto Salon mendapat faedah langsung dari industri ini. Pameran ini mempamerkan puluhan pemain industri aftemarket, pengeluar aksesori malah jenama-jenama pengeluar utama seperti Suzuki, Isuzu, Toyota, Yamaha dan Honda juga sudah mula mencuri tumpuan.

Ini lah masalahnya. Secara peribadi, apabila jenama besar (dengan wang yang banyak) mula masuk ke pameran yang sepatutnya menjadi pameran “gaya hidup modifikasi”, petak-petak pameran tidak langsung sama dengan apa yang biasa kita lihat di Tokyo. Mungkin jangkaan saya terlalu tinggi untuk membandingkannya dengan Tokyo dan sudah tentu ianya tidak adil.

Jadi saya bertanya kepada beberapa orang teman yang pernah datang ke sini (dan tak pernah ke Tokyo). Mereka juga memberi pandangan yang sama, pameran ini kelihatan sudah boleh dijangka. Bilangan kereta modifikasi lebih kecil dan sebahagian mereka hanya di jemput memenuhkan kawasan luar dewan sahaja.

Seperti undangan kelab, jadi ia tak konsisten kerana pameran ini berlangsung selama enam hari dan bergantung kepada nasib kereta apa yang dapat anda saksikan (melainkan anda datang setiap hari)

Jadi adakah ia pameran yang jelek dan tidak bagus?

TIDAK. Ia masih sebuah pameran yang berbaloi dikunjungi kerana ia mempamerkan banyak kereta yang menarik. Bagi pengunjung kali pertama, anda boleh bayangkan bahawa industri ini mula diiktiraf dan menjadi lebih teratur. Kereta-kereta ubahsuai dipamerkan dengan cara yang pelbagai, kereta keluaran baru dengan trend modifikasi juga sudah boleh “duduk” di petak pengeluar utama (lihat foto Isuzu di bawah). Pengeluar mula iktiraf bahawa pembeli akan beli D-Max dan ubahsuainya mengikut selera masing-masing.

Satu masa dahulu, kereta-kereta dengan mod ubahsuai ini tak akan duduk di petak pameran pengeluar. Saya pernah berbual dengan seorang CEO syarikat kereta Jepun di Malaysia dan mereka anggap kereta talaan/modifikasi sebagai menjejaskan identiti pengeluar. Mereka tak mahu dilihat seperti “menggalakkan” pengubahsuaian, lebih kurang begitulah jawapannya.

Tapi hari ini ia sudah berubah. Hampir setiap pengeluar di dunia mempunyai jenama aftermarket atau rumah talaan masing-masing. Ada juga yang membuat model koloborasi secara langsung seperti Nissan-Tomei, Nissan Nismo, Honda-Modulo dan sebagainya.

Di Bangkok Auto Salon ini juga boleh dilihat kereta dari Malaysia (Ya ada kereta Malaysia yang dipamerkan di sini). Namun begitu, yang paling menonjol mungkin sebuah Suzuki Jimny kuning dengan tema pikes peak Monster Tajima. SUV kecil ini menerima pengubahsuaian yang drastik termasuk sebuah enjin Nissan SR20DET menggantikan enjin asalnya.

Di sini juga boleh dilihat Honda NSX asli. Bukan satu tetapi dua! Di Jepun sekalipun, Honda NSX ni payah nak jumpa di pameran.

Banyak lagi kereta menarik yang saya kira datangnya dari pemilik persendirian. Ada Toyota Vellfire bling-bling, kereta-kereta lejen JDM seperti RX7 FD3S, Silvia, Skyline, 350Z, Fairlady dan macam-macam lagi.

Kepada anda yang bercita-cita mahu ke sini, silakan. Ia pameran tahunan yang diadakan sekitar pertengahan tahun. Bangkok Auto Salon adalah alternatif untuk bajet kecil bagi yang belum berkemampuan ke Jepun. Dari segi konsepnya, ia adalah pameran yang sama dengan Tokyo cuma dalam sekala yang lebih kecil.

Tengoklah gambar kat bawah ni

 

Google ads
Back to top button