Modifikasi

REPLIKA MONSTER TAJIMA, SUZUKI JIMNY PIKES PEAK DARI KINOKUNI AUTO

Salah satu “bintang” yang menyinar dalam pameran Bangkok Auto Salon ialah sebuah SUV kecil yang terhidang di hadapan pintu masuk dewan Pusat Pameran Impact Challengger, Bangkok. Sebaik melangkah masuk, mata pastinya tertumpu pada SUV ini dan dek kerana kenderaan ini tidak dibawa masuk di banyak negara, mengenali modelnya juga satu misteri nusantara.

Kenderaan ini dibawa khas dari Jepun untuk dipamerkan untuk tatapan umum peminat kereta Thailand. Ia adalah sebuah SUV biasa-biasa sahaja pun tetapi bila sudah lalui pengubahsuaian sedrastik ini, sudah tentu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melintas. Diasaskan dari Suzuki Jimny JB23 yang merupakan SUV kelas Kei-Car di Jepun, sama seperti Perodua Kembara, kurus dan kecil.

BACA: FORD FOCUS GTR UNTUK PIKES PEAK

Ia kemudiannya mendapat perhatian penala kecil dari daerah Wakayama, Selatan Osaka yang dikenali sebagai Kinokuni Performance. Memandangkan kereta-kereta sports Jepun sudah lali dilihat dalam pameran, SUV seperti ini sudah tentu mampu mempamerkan kelainan yang tersendiri.

Jimny ini telah menerima pengubahsuaian yang bermula dengan rim VR Rays TE37 17 X10.5 inci dan offset +14. Dengan saiz rim ini, kesemua sudut fender tayar telah dibuat lebih lebar, lebih lima inci dari kedudukan asal. Ironinya jika di Jepun, model Jimny memang didatangkan dengan model Jimny Wide, dengan fender tambahan tetapi apa yang dibuat pada kereta ini jauh lebih lebar.

Pembinaan ini diteruskan dengan splitter hadapan yang cukup untuk mudah ranap jika dibawa di jalanraya Thailand yang penuh dengan lubang, tar bertampal tak rata dan jalan gred D. Penambahan tersebut disambung terus pada bumper depan dan kosmetik kereta ini diakhir dengan satu unit sayap cukup besar untuk dijadikan tempat teduhan waktu hujan.

Hasilnya? sebuah Jimny yang cukup garang bagai akan dipandu oleh Monster Tajima dalam acara perlumbaan memandu ke langit-pikes peak.

Tetapi garang sahaja tidak cukup tanpa enjin yang cukup berkuasa. Model domestik Jepun ini didatangkan dengan enjin 660cc turbo yang hanya menghasilkan 64ps. Kinokuni Performance menggantikannya dengan unit enjin SR20DET dengan Turbo Borg Warner 6758. Beberapa peralatan lain ditambah seperti intercooler lebih besar, penapis udara jenis terbuka namunyang lebih penting enjin ini dipasangkan pada kerangka binaan tiub baru.

Kini ia sudah bersedia untuk perlumbaan, tapi tak tahulah kalau lebih banyak beraksi dalam pameran…

 

 

GALERI

Google ads
Back to top button