
PEMENANG ‘LICENCE TO WIN 2025’ PANDU PULANG PORSCHE 911 CARRERA
Kempen jualan lapangan terbang terbesar anjuran Malaysia Airports, Licence to Win (LTW) 2025, melabuhkan tirai dengan penuh gemilang dalam acara kemuncak yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad.
Robert James dari Indonesia dinobatkan sebagai pemenang utama, membawa pulang sebuah Porsche 911 Carrera selepas mengharungi persaingan sengit.
Menariknya, Robert diwakili isterinya, Raenita Santoso, berjaya mara ke pusingan akhir melalui cabaran yang menguji kepantasan, fokus serta ketepatan.
Malam final berlangsung penuh debaran dengan beberapa permainan berintensiti tinggi sebelum pemenang utama diumumkan.

Selain hadiah utama, peserta turut berpeluang memenangi pengalaman pelancongan eksklusif ke Switzerland, Australia dan Jepun hasil kerjasama dengan Traveloka.
Turut ditawarkan ialah baucar membeli-belah eksklusif oleh Eraman, ganjaran bulanan serta pengenalan sebuah motosikal pengembaraan premium, BMW R1300 GS sebagai antara tarikan sepanjang kempen.
Bertemakan “Own the Dream”, kempen Licence to Win 2025 berlangsung dari Julai hingga Disember 2025.
Pengunjung hanya perlu berbelanja minimum RM100 di premis terpilih di lapangan terbang bagi melayakkan diri menyertai cabutan hadiah. Inisiatif ini turut menyaksikan integrasi digital yang lebih lancar serta ganjaran pelancongan berinspirasi.

Kempen berkenaan mencatat kejayaan besar dengan jumlah jualan melebihi RM200 juta serta lebih 500,000 penyertaan di seluruh rangkaian lapangan terbang kendalian Malaysia Airports, meningkat 56 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Resit tunggal tertinggi direkodkan sebanyak RM93,000, manakala kategori bebas cukai kekal sebagai pilihan pembelian utama.
Penyertaan juga meningkat menerusi perbelanjaan makanan dan minuman yang lebih mampu milik.
Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Hani Ezra Hussin, kempen tersebut mencerminkan kekuatan strategi runcit yang terus berkembang serta usaha berterusan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di lapangan terbang.
Penyertaan yang tinggi dan pertumbuhan jualan menunjukkan keupayaan untuk mewujudkan pengalaman runcit lebih menarik dan memberi ganjaran kepada pengunjung.
Penutup Licence to Win 2025 mengukuhkan komitmen Malaysia Airports dalam mempertingkat pengalaman perjalanan, bukan sekadar sebagai hab transit tetapi sebagai destinasi gaya hidup.
Inisiatif sebegini juga menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 dengan menjadikan lapangan terbang sebagai pintu masuk yang lebih menarik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

