
iCAUR DEDAH KERETA KONSEP ROBOX DAN iCAUR V27 RHD DI BEIJING AUTO SHOW 2026
Jenama automotif global, iCAUR memanfaatkan pentas Beijing Auto Show 2026 bagi memperlihatkan hala tuju mobiliti masa depan serta strategi peluasan pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Su Jun, memperkenalkan dua sorotan utama iaitu kereta konsep iCAUR ROBOX dan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi model iCAUR V27.
ROBOX menjadi gambaran eksperimen iCAUR terhadap mobiliti generasi baharu. Nama model itu diilhamkan daripada gabungan “ROBOT” dan “BOX”, sekali gus menampilkan falsafah reka bentuk future-classic yang menggabungkan perkadaran klasik dengan elemen futuristik.

Ia menggunakan siluet OneBox yang lebih aerodinamik, digandingkan dengan struktur kelegaan tinggi bagi menyeimbangkan kecekapan udara dan kebolehan merentas laluan mencabar.
Antara ciri uniknya termasuk lampu gabungan bulat dan segi empat terpisah, permukaan modular ringkas serta ruang kabin yang ditafsir semula bagi menonjolkan identiti teknologi moden.
Dalam masa sama, versi RHD V27 mencerminkan langkah agresif iCAUR dalam peluasan global.
Varian pemanduan kiri model tersebut sebelum ini menerima sambutan positif di China dan Timur Tengah, hasil gabungan gaya kotak klasik dengan kepraktisan penggunaan harian.

Dibangunkan sebagai model global, V27 memenuhi piawaian keselamatan lima bintang di China dan Eropah, selain disesuaikan untuk pasaran pemanduan kanan termasuk Asia Tenggara dan Oceania.
Selain barisan produk, iCAUR turut membangunkan ekosistem pengguna global. Dengan kerjasama China National Geographic, jenama itu memperkenalkan program eksplorasi antarabangsa “The Grand Tour” yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai landskap dan budaya di seluruh dunia.
Pada masa sama, musim kedua iCAUR Player Carnival membuka peluang kepada pengguna global untuk terlibat dalam projek penyesuaian kenderaan.
Hasil terpilih akan dipamerkan di SEMA Show, manakala beberapa versi tersuai model V23 dan V27 turut dipamerkan di reruai pameran bagi menonjolkan pendekatan reka bentuk berasaskan pengguna.

Turut menjadi tarikan ialah robot interaktif AIMOGA robot yang menunjukkan penerokaan iCAUR terhadap teknologi pintar di luar kenderaan.
Melalui interaksi masa nyata dan aplikasi berasaskan senario, ia memperlihatkan integrasi antara mobiliti, kecerdasan buatan dan pengalaman pengguna.
Ketika iCAUR kini berkembang ke lebih 40 negara dan wilayah dengan rangkaian rakan global yang semakin meluas, penyertaan di Beijing Auto Show 2026 menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kehadiran jenama itu di peringkat antarabangsa.






