
CHERY TAMPIL UJIAN KESELAMATAN DUNIA SEBENAR, TIGGO 9 LULUS UJIAN PELANGGARAN TIGA KENDERAAN
Chery memperkukuh komitmen terhadap keselamatan kenderaan keluarga apabila menjalankan demonstrasi ujian pelanggaran komposit tiga kenderaan melibatkan model SUV utamanya, TIGGO 9, sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa 2026 di Pusat Ujian Longshan.
Ujian yang disaksikan pengedar global serta media antarabangsa itu direka bagi mensimulasikan situasi kemalangan trafik berisiko tinggi yang sering berlaku dalam dunia sebenar.
Pendekatan tersebut membolehkan penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan TIGGO 9, selain turut menonjolkan keutuhan struktur model TIGGO 7 yang menjadi sebahagian daripada konfigurasi pelanggaran.
Menurut Timbalan Pengurus Besar Chery, Gavin Liang, risiko keselamatan yang dihadapi keluarga jarang berlaku dalam persekitaran terkawal, justeru pengesahan keselamatan dalam keadaan sebenar menjadi keutamaan.

Beliau berkata peningkatan kerumitan trafik global mendorong pengeluar itu menguji kenderaan dalam senario lebih mencabar bagi mencerminkan situasi pemanduan harian.
Berbeza dengan ujian pelanggaran tunggal standard, demonstrasi terbuka ini mensimulasikan impak serentak dari hadapan dan belakang, situasi yang lazim berlaku dalam pelanggaran berantai lebuh raya atau ketika kenderaan berhenti di persimpangan.
Dalam ujian tersebut, TIGGO 9 menerima hentaman hadapan pada kelajuan 50 km/j daripada TIGGO 7, sementara pada masa sama dirempuh dari belakang pada kelajuan 40 km/j oleh sebuah lagi kenderaan.
Walaupun menerima daya dua arah secara berterusan, ruang kabin penumpang TIGGO 9 kekal utuh tanpa ubah bentuk ketara pada tiang A, B, C dan D.

Ruang kelangsungan hidup penumpang juga terpelihara sepenuhnya. Sistem keselamatan utama berfungsi seperti direka, termasuk beg udara hadapan, sisi dan tirai, manakala tali pinggang keledar dengan pretensioner bertindak balas dengan tepat.
Selepas pelanggaran, keempat-empat pintu terbuka secara automatik dan boleh diakses bagi memudahkan operasi menyelamat. Tiada kebocoran bahan api dikesan, sementara lampu amaran kecemasan diaktifkan secara automatik.
TIGGO 9 dibina menggunakan struktur badan berketegaran tinggi dengan 85 peratus keluli berkekuatan tinggi, termasuk 21 peratus keluli hot-stamped bagi mengukuhkan bahagian kritikal kabin.
Seni bina pemindahan beban yang dioptimumkan membantu menyerap dan mengagihkan tenaga hentaman secara lebih berkesan bagi mengurangkan risiko ubah bentuk ketika kemalangan serius.
Model itu turut dilengkapi sistem perlindungan menyeluruh merangkumi 10 beg udara, tali pinggang keledar dengan fungsi had beban, pembukaan pintu automatik selepas pelanggaran serta lampu amaran kecemasan.
Kesemua ciri ini membentuk perlindungan berperingkat sebelum, semasa dan selepas impak.
Dalam ujian sama, struktur TIGGO 7 turut menunjukkan prestasi kukuh, sekali gus membuktikan tahap keselamatan konsisten merentas keluarga TIGGO, bukan hanya pada model flagship.
Chery turut menegaskan bahawa fokus terhadap keselamatan tidak terhad kepada satu ujian sahaja. Beberapa modelnya telah meraih penarafan lima bintang daripada badan keselamatan global seperti Euro NCAP, ANCAP dan ASEAN NCAP.
Ujian pelanggaran komposit terbaharu ini juga menyusul siri pengesahan keselamatan yang dijalankan di pelbagai pasaran antarabangsa.
Antaranya termasuk ujian keselamatan kebakaran bateri di Malaysia, rendaman air laut berpanjangan, pendedahan suhu gurun, pelanggaran hadapan offset, ujian ketahanan penembusan bateri serta penilaian geseran bahagian bawah kenderaan.
- BACA: LEPAS DEBUT DI AUTO CHINA 2026 – MODEL LEPAS L6 DAN L4 EV JADI TARUHAN PERTAMA
- BACA: PEMENANG ‘LICENCE TO WIN 2025’ PANDU PULANG PORSCHE 911 CARRERA
- BACA: RASMI: EZI RAY-01 DIPERKENALKAN – HANYA RM2,288 DENGAN REBAT MFORCE.CAS
- BACA: ROYAL ALLOY GT125S DAN GT160S DILANCARKAN – HARGA MULA RM9.8K







