
CHERY TIGGO V DIDEDAHKAN DI CHINA – LANCAR SUKU KETIGA 2026, BAKAL MASUK MALAYSIA?
Chery memperkenalkan model global terbaharu mereka, TIGGO V di Auto China 2026 sebagai SUV keluarga yang tampil dengan konsep luar biasa serta pendekatan lebih versatil berbanding model biasa.
Sebagai model flagship baharu dalam barisan TIGGO, SUV ini menampilkan konfigurasi tiga baris tempat duduk modular yang unik.
Bahagian belakang kenderaan boleh dibuka dan diubah menjadi ruang kargo terbuka ala trak pikap, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian, aktiviti luar, mahupun keperluan kerja ringan.
Pendekatan ini menjadikan TIGGO V antara SUV keluarga paling fleksibel yang pernah dibangunkan oleh Chery, dengan konsep “satu kenderaan untuk pelbagai situasi”.

Rekaan ranggi dengan keupayaan lasak
Dari segi luaran, TIGGO V tampil dengan gaya lebih rugged menerusi gril depan bersaiz besar, lampu LED penuh di bahagian hadapan dan belakang, serta rim aloi dua tona bersaiz 19-inci yang dipadankan dengan tayar all-terrain (AT).
SUV ini turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220mm, selain keupayaan meredah air sehingga 700mm, menandakan ia bukan sekadar SUV keluarga biasa tetapi turut mampu mengharungi permukaan mencabar.
Wheelbase sepanjang 2,800mm pula membantu menyediakan ruang kabin yang lebih luas, selari dengan peranannya sebagai SUV tiga baris.

Konfigurasi tempat duduk fleksibel
TIGGO V bakal ditawarkan dengan beberapa susunan tempat duduk, termasuk konfigurasi enam dan tujuh penumpang.
Susun atur modular ini membolehkan pengguna menyesuaikan ruang kabin mengikut keperluan sama ada untuk membawa keluarga, barangan besar atau aktiviti rekreasi.
Ciri praktikal lain termasuk:
- Kamera 540 darjah
- Suspensi depan topang MacPherson, belakang multi-link
- Roof rail
- Lampu LED penuh depan dan belakang
- Ruang kargo boleh diubah menjadi gaya pikap
Pilihan enjin ICE dan Chery Super Hybrid

Dari segi rangkaian kuasa, TIGGO V dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta sistem Chery Super Hybrid (CSH).
Versi hibrid dikatakan mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 6.0 liter/100 km, manakala varian enjin konvensional pula dianggarkan sekitar 7.8 liter/100 km, menjadikannya masih kompetitif dalam segmen SUV bersaiz besar.
Pelancaran China Q3 2026, Malaysia masih dalam pertimbangan
Chery mengesahkan TIGGO V akan dilancarkan di pasaran China pada suku ketiga 2026. Namun untuk pasaran Malaysia, model ini masih dalam peringkat penilaian.
Disebabkan konsepnya yang unik dan saiz yang besar, model ini dijangka ditawarkan secara import penuh (CBU) sekiranya dibawa masuk.
Ini bermakna harganya berkemungkinan tinggi, selain jumlah jualan mungkin terhad.
- BACA: MICHELIN PRIMACY 5 DIPERLUAS KE SEGMEN SUV – TAMBAH 34 SAIZ BAHARU, SERASI EV
- BACA: MGS5 EV CKD RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM116K
- BACA: HYUNDAI IONIQ V DIPERKENALKAN DI CHINA – TAWAR JARAK GERAK LEBIH 600KM
- BACA: XPENG GX DEBUT DI AUTO CHINA 2026: DILENGKAPI SISTEM ‘AI DRIVING’ GENERASI BAHARU

