
MICHELIN PRIMACY 5 DIPERLUAS KE SEGMEN SUV – TAMBAH 34 SAIZ BAHARU, SERASI EV
Michelin Malaysia mengumumkan pengembangan rangkaian tayar Primacy 5 dengan memperkenalkan varian khusus untuk kenderaan utiliti sukan (SUV), termasuk model enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan elektrik (EV).
Langkah ini dibuat bagi memenuhi permintaan pasaran SUV yang semakin berkembang, di samping menawarkan pilihan tayar yang lebih luas kepada pengguna tempatan.
Dengan peluasan ini, rangkaian MICHELIN Primacy 5 kini menerima tambahan 34 saiz baharu melibatkan rim antara 16 hingga 22-inci.

Ia memberi lebih fleksibiliti kepada pemilik pelbagai jenis SUV dan crossover untuk memilih tayar yang sesuai mengikut keperluan pemanduan, sama ada untuk keselesaan harian, perjalanan jauh atau penggunaan bersama EV.
Varian SUV bagi Primacy 5 dibangunkan dengan dinding sisi yang diperkukuh bagi meningkatkan kestabilan serta ketahanan terhadap hentakan, khususnya ketika melalui permukaan jalan tidak rata.
Tayar ini turut mengekalkan ciri utama siri Primacy seperti prestasi cengkaman basah, tahap kesenyapan dan ketahanan bunga tayar.
Antara kelebihan utama yang ditawarkan termasuk keselesaan pemanduan premium menerusi teknologi Silent Rib Gen-3 yang membantu mengurangkan bunyi kabin.

Dari aspek keselamatan, teknologi EverGrip, EverTread serta Functional Elastomers 3.0 membantu memberikan jarak membrek lebih pendek di permukaan basah dan kawalan lebih baik ketika mengelak halangan secara mengejut.
Selain itu, teknologi MaxTouch digunakan bagi mengoptimumkan sentuhan tayar dengan permukaan jalan.
Menurutnya, ia membantu mengagihkan daya pecutan, membrek dan membelok secara sekata, sekali gus memanjangkan jangka hayat bunga tayar tanpa menjejaskan keselamatan.
Bagi pengguna EV pula, sebatian bunga tayar khas membantu mengurangkan rintangan gelinciran sehingga 10 peratus. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tenaga, malah berpotensi memanjangkan jarak perjalanan bagi kenderaan elektrik.
Di Malaysia, MICHELIN Primacy 5 kini ditawarkan dalam keseluruhan 76 saiz bagi rim 16 hingga 22-inci dan boleh didapati melalui rangkaian pengedar tayar sah Michelin di seluruh negara.
Harga jualan yang disyorkan bermula dari RM467 hingga RM1,639 bergantung kepada saiz.
GALERI:













