
HONDA ACCORD e:HEV 2026 DILANCARKAN DI THAILAND – TIGA VARIAN, HARGA MULA RM191K
Honda Accord G11 e:HEV (MY2026) kini tampil dengan beberapa penambahbaikan baharu untuk pasaran Thailand, termasuk pilihan warna tambahan, kemasan dalaman lebih premium serta kenaikan harga sekitar 30,000 hingga 35,000 baht (RM3,629 – RM4,234) bergantung kepada varian.
Bagi model tahun 2026 ini, Honda menawarkan tiga varian utama iaitu e:HEV E pada harga 1.479 juta baht (sekitar RM191,000), e:HEV EL bermula 1.629 juta baht (sekitar RM210,000) dan varian tertinggi e:HEV RS Panoramic berharga 1.764 juta baht (sekitar RM228,000).
Antara perubahan utama ialah penggunaan logo “H” monokrom baharu berwarna hitam dan perak pada semua varian.

Khusus untuk e:HEV RS, Honda turut memperkenalkan warna badan baharu Urban Grey Pearl bersama pilihan kabin berwarna putih yang memberi imej lebih mewah dan moden.
Varian RS juga menerima pelbagai sentuhan eksklusif seperti bumbung panoramik, spoiler hitam sporty, lampu LED adaptif (ADB), lampu isyarat sequential LED serta kemasan dalaman dengan jahitan merah.
Dari segi dimensi, Accord generasi G11 ini berukuran 4,962mm panjang, 1,862mm lebar dan 1,449mm tinggi dengan jarak roda 2,828mm. Berbanding model terdahulu, ia lebih panjang sebanyak 68mm.
Kuasa pula datang daripada enjin petrol 2.0 liter Atkinson Cycle yang digandingkan bersama dua motor elektrik. Gabungan sistem hibrid itu menghasilkan kuasa keseluruhan 207hp dan tork maksimum 335Nm, dipadankan dengan transmisi E-CVT.

Honda mendakwa sedan segmen-D ini mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 23.3km/l selain pelepasan karbon serendah 96g/km.
Sistem e:HEV tersebut menawarkan tiga mod pemanduan utama iaitu EV Drive Mode, Hybrid Drive dan Engine Drive Mode.
Selain itu, pemandu juga boleh memilih empat mod pemanduan berbeza terdiri daripada Econ, Normal, Sport dan Individual.
Dari sudut kelengkapan, walaupun varian asas e:HEV E sudah dilengkapi ciri premium seperti paparan digital 10.2-inci, skrin infotainmen 12.3-inci dengan Google Built-in, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio BOSE 12 pembesar suara serta Honda SENSING.

Varian EL pula menambah rim 18-inci, paparan Head-Up Display, kamera 360 darjah, pencahayaan ambien kabin dan sistem penapis udara Plasma Cluster.
Bagi aspek keselamatan, Accord MY2026 hadir dengan lapan beg udara, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Collision Mitigation Braking System serta kamera undur tiga sudut pandangan.
Honda Thailand turut menawarkan pakej jaminan termasuk waranti kenderaan lima tahun atau 140,000km, servis percuma lima tahun, bantuan kecemasan 24 jam serta jaminan bateri hibrid sehingga 10 tahun tanpa had perbatuan.









